Ukraine Kehilangan 20 Peratus Aset Tenteranya Dalam Serangan Balas – NYT

Dalam dua minggu selepas pihak tentera Ukraine melancarkan serangan balas musim bunga yang ditunggu-tunggu, ia telah kehilangan 20 peratus daripada senjata digunakannya dalam pertempuran itu termasuk kereta perisai dan kereta kebal, menurut akhbar terkenal Amerika Syarikat, The New York Times.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam dua minggu selepas pihak tentera Ukraine melancarkan serangan balas musim bunga yang ditunggu-tunggu, ia telah kehilangan 20 peratus daripada senjata digunakannya dalam pertempuran itu termasuk kereta perisai dan kereta kebal, menurut akhbar terkenal Amerika Syarikat, The New York Times (NYT)

The New York Times yang memetik pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat dan Eropah berkata, antara yang musnah dalam serangan balas itu adalah kereta-kereta perisai dan kereta kebal seperti Bradley serta Leopard yang dibekalkan oleh negara-negara Barat.

Tersentak dengan kehilangan yang tinggi itu, tentera Ukraine telah mengubah strategi ketenteraannya di dalam minggu-minggu berikut yang menyaksikan jumlah kehilangan senjata-senjatanya menurun kepada 10 peratus.

Kereta kebal Leopard dan kereta perisai Bradley yang ditinggalkan oleh tentera Ukraine dalam serangan balas di wilayah Zaphorizia, selatan Ukraine.

 

Antara perubahan strategi dilakukan oleh tentera Ukraine termasuklah memfokuskan kepada membedil kedudukan tentera Russia menggunakan artilleri dan peluru berpandu jarak jauh berbanding mara ke kawasan-kawasan musuh yang dipenuhi dengan periuk api.

Strategi baru tentera Ukraine bukan sahaja menyaksikan penurunan daripada segi kemusnahan aset-aset tenteranya, tetapi juga ia juga menjejaskan kepantasan serangan balas oleh mereka.

Tempo serangan balas tentera Ukraine pada masa ini adalah lebih perlahan berbanding pada permulaan kempen itu dan di kawasan tertentu serangan balas oleh Kiev telah dihentikan sama sekali berikutan tentangan hebat yang diberikan oleh tentera Russia.

Tentera Russia menurut The New York Times mempunyai masa berbulan-bulan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi serangan balas oleh tentera Ukraine dan telah menabur periuk-periuk api serta pelbagai jerangkap sama, selain memperkukuhkan kubu-kubu pertahanan mereka.

Minggu ini Presiden Ukraine Volodmyr Zelensky mengakui bahawa operasi di beberapa kawasan telah dihentikan, tetapi beliau menyalahkan kekurangan peralatan dan senjata sebagai punca utama terhadap pemberhentian operasi itu.

Kenderaan IFV Bradley buatan Amerika di Ukraine

 

Menurut The New York Times lagi, antara ketumbukan tentera Ukraine yang paling teruk menerima kesan pada serangan balas itu adalah Briged Mekanis Ke-47 yang dilaporkan telah menerima 99 buah kereta perisai Bradley daripada Amerika bagi mempersiapkan dirinya untuk serangan balas musim bunga.

Namun data daripada Oryx yang memantau kemusnahan senjata dialami kedua-dua pihak berkata, 28 daripada kereta perisai Bradley yang diterima oleh unit itu sama ada telah musnah, rosak teruk atau ditinggalkan pada kempen serangan balas itu.

Sebanyak 15 buah kereta perisai Bradley itu musnah atau rosak pada 7 atau 8 Jun lepas di sebuah perkampungan di Wilayah Zaphorizia ketika ia terperangkap di kawasan periuk api dan diserang oleh helikopter penyerang Russia.

Enam buah lagi kereta perisai Bradley dilaporkan musnah atau ditinggalkan di Mala Tokmachka pada 26 Jun lepas.

Kereta perisai Bradley yang ditinggalkan oleh tentera Ukraine selepas serangan tentera Russia.

 

Memandangkan Briged Mekanis Ke-47 Tentera Ukraine adalah satu-satunya unit yang menerima kereta perisa Bradley, bermakna ia telah telah kehilangan satu pertiga daripada kereta perisai yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepadanya.

Oryx juga menyatakan bahawa sepanjang bulan Jun Briged Mekanis ke-33 tentera Ukraine yang mengoperasikan kereta kebal Leopard telah kehilangan 24 buah kereta kebal termasuk 10 buah kereta kebal Leopard yang dibekalkan oleh Jerman dan negara-negara Eropah yang lain.

Ini menunjukkan briged itu telah kehilangan 30 peratus daripada kereta kebal Leopard yang dibekalkannya, menurut Oryx. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Aset TenterafeaturedRussiaSerangan BalasUkraineZaphorizia
Comments (0)
Add Comment