Arab Saudi Nafi “Buka” Ruang Udaranya Untuk Bolehkan Pesawat Pejuang Israel Serang Yemen

Mereka mendakwa hanya dengan kebenaran kerajaan Arab Saudi untuk pesawat-pesawat pejuang Israel menggunakan ruang udaranya, maka, ia boleh terbang ribuan kilometer daripada negara Yahudi itu untuk sampai ke Yemen dan mengebom sasarannya semalam.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Banyak pihak di Timur Tengah menuduh kerajaan Arab Saudi telah bertindak “membuka” ruang udaranya kepada pesawat-pesawat pejuang Israel bagi membolehkan mereka melakukan serangan udara terhadap Yemen semalam.

Mereka mendakwa hanya dengan kebenaran kerajaan Arab Saudi untuk pesawat-pesawat pejuang Israel menggunakan ruang udaranya, maka, ia boleh terbang ribuan kilometer daripada negara Yahudi itu untuk sampai ke Yemen dan mengebom sasarannya semalam.

Selain Arab Saudi, Jordan turut dituduh membuka ruang udaranya kepada pesawat-pesawat pejuang Israel itu. Kedua-dua negara Timur Tengah itu adalah sekutu utama kepada Amerika Syarikat.

Terdapat kepercayaan di kalangan penduduk di Timur Tengah bahawa serangan pesawat-pesawat pejuang Israel terhadap pusat simpanan minyak di Pelabuhan Hodeidah, Yemen itu dikoordinasi oleh Amerika Syarikat, Britain dan Arab Saudi.

Sehingga kini serangan udara pesawat-pesawat pejuang F-15 Israel terhadap Pelabuhan Hodeidah, Yemen itu telah menyebabkan kebakaran besar, yang sehingga kini masih terbakar dan mengakibatkan kira-kira 10 orang penduduk tempatan terkorban.

Pesawat pejuang F-15 Israel .

 

Kumpulan bersenjata Houthi telah pun melancarkan beberapa peluru berpandu ballistik terhadap Israel sebagai tindak-balas terhadap serangan udara Israel terhadap Pelabuhan Hodeidah semalam.

Dalam reaksi balasnya terhadap dakwaan ia telah “membuka” ruang udaranya kepada pesawat pejuang Israel untuk menyerang Yemen, kerajaan Arab Saudi menafikan dakwaan itu sekeras-keranya dan berkata ia tidak mempunyai apa-apa peranan dalam serangan semalam itu.

Menurut Arab Saudi, ia tidak akan membenarkan mana-mana pihak untuk menggunakan ruang udaranya untuk sebarang serangan.

“Arab Saudi tidak mempunyai kaitan atau peranan  dalam serangan terhadap Hodeidah dan kerajaan di Riyadh tidak akan membenarkan mana-mana entity untuk menceroboh ruang udaranya,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Arab Saudi Brigadier Jeneral Turki Al-Malki dalam satu kenyataan menerusi media sosial X (dahulu dikenali sebagai Twitter).

Kementerian Luar Arab Saudi telah menyatakan kebimbangannya tentang sebarang tindakan yang boleh menyebabkan keadaan ketenteraan di Yemen semakin merebak.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi Saudi Press Agency, kementerian itu berkata bahawa serangan udara Israel itu hanya memburukkan lagi lagi ketegangan di rantau itu dan menyebabkan usaha untuk menghentikan peperangan di Semenanjung Gaza sukar dicapai.

Israel melancarkan serangan udara terhadap Pelabuhan Hodeidah di Yemen itu sebagai tindak balas terhadap serangan dron berani mati dilancar oleh kumpulan bersenjata Houthi terhadap ibu negara Israel, Tel Aviv yang mengorbankan seorang dan menyebabkan 10 yang lain cedera.

Dron berani mati dilancar oleh kumpulan bersenjata Houthi itu meletup di kawasan tidak jauh daripada bangunan kedutaan Amerika Syarikat,namun tidak dapat dipastikan sama ada kedutaan Amerika Syarikat adalah sasaran dron berani mati itu.

Jurucakap kumpulan bersenjata Houthi Yahya Saree berkata serangan dron berani mati berjaya dilancarkan menggunakan dron baru yang berkemampuan melepasi sistem pertahanan lawan.

“Kami akan meneruskan serangan terhadap kedudukan pihak musuh sebagai respons terhadap pembunuhan dilakukan oleh musuh terhadap saudara kami di Gaza. Operasi kami hanya akan berakhir apabila kekejaman dan pengepungan terhadap penduduk Palestin di Gaza berakhir,” kata beliau.

Dron berani mati dilancar oleh kumpulan Houthi terhadap Tel Aviv  itu adalah daripada jenis “Sammad-3” yang telah dinaiktaraf daripada segi jaraknya bagi membolehkannya terbang jauh sehingga ke ibu negara Israel.

Bagi kumpulan Houthi pula, mereka menamakan dron berani mati yang berjaya mengelak daripada dikesan oleh sistem pertahanan udara Israel itu sebagai “Yafa.”

Dron berani mati “Sammad-3” itu telah digunakan oleh Houthi terhadap Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan bandar pelabuhan Israel, Eilat yang terletak di Laut Merah tidak jauh daripada Jordan.

Dron berani mati “Sammad-3” telah dibangunkan dan menggunakan teknologi Iran.

Berkemungkinan kumpulan bersenjata Houthi di atas bantuan daripada Iran telah berjaya membangunkan sendiri beberapa komponen dan sistem yang digunakan oleh dron berani mati “Sammad-3” itu.

Bagaimanapun komponen dan teknologi asasnya datang daripada Iran.

Dengan panjang pesawat (wingspan 4.5 meter), dron Sammad-3 yang membedil ibu negara Israel, Tel Aviv, dron berani mati Sammad-3 atau dipanggil “Yafa” oleh kumpulan Houthi berkemampuan terbang sejauh 1,500km sehingga 2,500km. — DSA

 

Arab SaudifeaturedRuang UdaraYemen
Comments (0)
Add Comment