APMM Letak Kapal 24/7 Di Beting Patinggi Ali

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sebuah kapal milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa berada berhampiran Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) bagi mengawasi kapal pengawal pantai China.

Ketua APMM Miri Md Fauzi Othman berkata, kapal APMM itu akan berada di kedudukan itu 24/7 (24 jam 7 hari seminggu) bertujuan memelihara kedaulatan negara.

Di dalam  jargon ketenteraan/keselamatan, kapal APMM itu akan “shadow” kapal pengawal pantai China itu di Beting Patinggi Ali.

“Ia tidak dapat dinafikan bahawa kapal pengawal pantai China sentiasa berada di lokasi itu,” katanya sebagaimana dipetik oleh akhbar Borneo Post di Miri.

Beliau berkata, kapal pengawal pantai China itu berada di perairan berhampiran Beting Patinggi Ali sejak 2013 dan pihak APMM turut bertindak dengan meletakkan asetnya di kawasan itu sepanjang masa bagi mengawasi kapal negara Komunis itu.

Kedudukan Beting Patinggi Ali daripada pantai Sarawak. (sumber internet)
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Walaupun kapal-kapal APMM dan China hanya berada 20 batu nautika di antara satu sama lain, tetapi tidak pernah berlaku konfrontasi sesama mereka.

Hanya kapal-kapal milik Malaysia dan China berada di perairan itu, katanya sambil menambah, ia tidak melibatkan negara lain.

Beting Patinggi Ali hanya terletak 84 Batu Nautika daripada pantai Bintulu, di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.

Menurut data daripada Marine Traffic sebagaimana dipetik oleh portal Malaysiakini, kapal Pengawal Pantai China (CCG 5202) berada di perairan Beting Patinggi Ali pada Julai lepas.

Kehadiran kapal CCG 5203 turut dikesan dari 23 Disember tahun lalu hingga 13 Jan tahun ini; 16 Jan hingga 1 Februari; 6 Februari hingga 17 Februari, dan 2 April hingga 23 Mei.

Kapal CCG 5204, sementara itu, dikesan dari 17 Februari hingga 2 April dan dari 22 Mei hingga 7 Julai.

Set data tersebut juga menunjukkan kapal CCG hanya direkodkan sebagai “Pengawal Pantai China” dan dikesan berhampiran Luconia Shoals dari 13 Jan hingga 16 Jan.

Berdasarkan set data, tempoh antara 2 Februari dan 5 Februari adalah satu-satunya tempoh tahun ini di mana tiada kapal CCG di Beting Patinggi Ali.

Imej daripada aplikasi Marine Traffic menunjukkan kehadiran kapal pengawal pantai China di Beting Patinggi Ali. (sumber Malaysiakini)

Baru-baru ini, Jabatan Audit Negara di dalam laporannya mengatakan kapal-kapal milik Pengawal Pantai China dan Tentera Laut China telah menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019, terutama di Beting Patinggi Ali.

Beijing mendakwa memiliki “hak bersejarah” di Laut China Selatan termasuk Beting Patinggi Ali.

Bagaimanapun, tuntutan China itu yang tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

APMMBeting Patinggi AliChinaLuconia Shoals