Apa Sudah Jadi Helikopter Penyerang Apache AH-64? Empat Buah Terhempas Dalam Dua Bulan

Di dalam tempoh dua bulan sahaja, empat buah helikopter penyerang Apache AH-64 yang digunakan oleh Tentera Darat Pengawal Kebangsaan (Army National Guard) dan Tentera Darat Amerika Syarikat dilaporkan telah terhempas, membunuh beberapa krewnya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam tempoh dua bulan sahaja, empat buah helikopter penyerang Apache AH-64 yang digunakan oleh Tentera Darat Pengawal Kebangsaan (Army National Guard) dan Tentera Darat Amerika Syarikat dilaporkan telah terhempas, membunuh beberapa krewnya.

Insiden terbaru membabitkan helikopter bersenjata itu berlaku di Fort Carson, Colorado, Amerika Syarikat beberapa hari lalu.

Helikopter Apache yang malang itu beroperasi di bawah 4th Combat Aviation Brigade, Tentera Darat Amerika Syarikat ketika sedang melakukan penerbangan latihan, menyebabkan juruterbang dan gunner mengalami kecederaan ringan.

Insiden itu telah menyebabkan pemerintah di Fort Carson untuk menggantung sebarang penerbangan pesawat-pesawat termasuk helikopter Apache AH-64 di kawasan penempatan tentera itu sehingga segala siasatan mengenai insiden itu dilaksanakan.

Beberapa hari sebelum kejadian terbaru itu, sebuah lagi helikopter penyerang varian terkini Apache AH-64E yang dioperasikan oleh 16th Combat Aviation Brigade, Tentera Darat Amerika Syarikat turut mengalami kemalangan ketika melakukan penerbangan latihan yang rutin.

Kemalangan itu berlaku di Pangkalan Bersama Lewis-McChord di Washington State sehingga menyebabkan kedua-dua juruterbang dan gunner helikopter penyerang itu mengalami kecederaan.

Apache AH-64

 

Sehingga kini, juruterbang dan gunner helikopter penyerang yang malang itu masih menerima rawatan di hospital tempatan dan berada di dalam keadaan stabil.

Kedua-dua kemalangan melibatkan helikopter penyerang Apache AH-64 yang dioperasikan oleh Tentera Darat Amerika Syarikat itu berlaku selepas dua buah helikopter jenis yang sama turut mengalami kemalangan pada bulan Februari lalu.

Kedua-dua buah helikopter penyerang AH-64D itu yang mengalami kemalangan ketika melaksanakan penerbangan latihan pada bulan lepas itu dioperasikan oleh Tentera Darat Pengawal Kebangsaan (Army National Guard) Amerika Syarikat.

Punca kedua-dua kemalangan membabitkan helikopter penyerang dioperasikan oleh Tentera Darat Pengawal Kebangsaan itu masih disiasat.

Kemalangan pertama membabitkan helikopter AH-64D Pengawal Kebangsaan Utah itu berlaku pada 13 Februari lalu yang terhempas di South Valley Regional Airport di West Jordan, menyebabkan kedua-dua krewnya mengalami kecederaan.

Kemalangan kedua melibatkan helikopter penyerang AH-64D yang dioperasi oleh Pengawal Kebangsaan Mississippi yang terhempas di bandar Booneville di bahagian utara di Utah pada 23 Februari.

Insiden itu menyebabkan kedua-dua krew helikopter penyerang itu, Pegawai Waran Bryan Andrew dan Pegawai Waran Derek Joshua maut,

Pada 27 Februari lalu, Pengawal Kebangsaan mengumumkan bahawa ia telah menggantung operasi kesemua helikopter penyerang Apache yang dioperasikannya.

Sehingga tahun 2020, Tentera Darat Amerika Syarikat dan Pengawal Kebangsaan negara itu mengoperasikan kira-kira 700 buah helikopter penyerang Apache AH-64 untuk operasi-operasi aktif di dalam dan luar negara.

Tentera Darat Amerika Syarikat mula mengoperasikan helikopter bersenjata Apache AH-64 pada 1984,iaitu kira-kira empat dekad yang lalu.

Pada tahun lepas, Tentera Darat Amerika Syarikat mengumumkan bahawa terdapatnya peningkatan masalah berkaitan kegagalan generator kuasa elektrik yang boleh menyebabkan terjadinya pengumpulan asap di dalam kokpit helikopter bersenjata itu.

Bagaimanapun setakat ini, tiada petanda bahawa kemalangan membabitkan keempat-empat helikopter bersenjata Apache AH-64 terbaru ini membabitkan masalah-masalah yang berpunca daripada generator elektrik itu. — DSA

ApachefeaturedHelikopterPengawal Kebangsaan
Comments (0)
Add Comment