Amerika Syarikat Buat U-Turn, Turkiye Mungkin Dibenarkan Semula Beli F-35

Amerika Syarikat bertindak mengeluarkan Turkiye daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 pada 2019 selepas Ankara memperolehi sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 "Triumf" daripada Russia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat dilaporkan sedang menimbangkan untuk menjual semula pesawat pejuang F-35 kepada Turkiye selepas melihat kemampuan Ankara membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri “KAAN.”
Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler berkata demikian ketika berucap di hadapan anggota-anggota Parlimen negara itu.
“Apabila Amerika Syarikat melihat kita boleh membangunkan pesawat pejuang generasi kelima KAAN, pandangan mereka berubah sedikit. Kini mereka menyatakan bahawa mereka boleh memberikan F-35.”
“Kami menegaskan hak produksi diberikan semula kepada kami. Kami juga menyatakan bahawa kami mahu membeli 40 buah F-35, “ kata beliau.
Pesawat prototaip KAAN yang pertama melakukan penerbangan sulung pada 21 Februari tahun ini, manakala penerbangan kedua berlangsung pada 6 Mei tahun ini.
TUSAS dijangka mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

Tentera Udara Turkiye dijangka akan menerima lebih daripada 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” sebaik sahaja pesawat pejuang yang dibangunkan oleh TAI itu dihasilkan secara besar-besaran (mass production).
Turkiye berkemungkinan besar akan dibenarkan semula membeli enam buah pesawat pejuang F-35 yang telah siap dibina dan “tersadai” dalam hangar di Amerika Syarikat pada ketika ini.
Amerika Syarikat bertindak mengeluarkan Turkiye daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 pada 2019 selepas Ankara memperolehi sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 “Triumf” daripada Russia.
Washington melahirkan kebimbangan bahawa sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 buatan Russia memberikan ancaman keselamatan kepada pesawat-pesawat generasi kelima F-35 buatan syarikat Lockheed Martin.
Perolehan sistem pertahanan jarak jauh S-400 buatan Russia oleh Türkiye itu menjadikannya negara anggota NATO pertama yang dikenakan sekatan di bawah U.S. Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA) Amerika Syarikat.
“KAAN”
Güler menjelaskan bahawa Türkiye tidak menerima sebarang maklum balas positif terhadap beberapa permintaannya untuk membeli sistem pertahanan udara Patriot buatan Amerika Syarikat, menyebabkan negara Mediterranean itu beralih kepada Russia untuk memperoleh sistem pertahanan udara jarak jauh S-400.
“Kami terpaksa membeli S-400. Pada ketika ini, Amerika Syarikat sudah tidak mempunyai bantahan lagi berhubung sistem pertahanan udara S-400,” menurut beliau.
Selaras dengan itu, laporan menyatakan bahawa Turkiye boleh mengoperasikan sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 itu dalam mod kombat di dalam tempoh 12 minit sahaja.
“Turkiye boleh mengerah sistem pertahanan udara S-400 dalam mod kombat dalam tempoh 12 minit sahaja,” kata Menteri Pertahanan Turkiye itu.
Ankara menandatangani perjanjian dengan Moscow pada 2017 untuk memperolehi sistem S-400 yang dianggarkan bernilai US$2.5 bilion (RM10 bilion).
Rejimen pertama sistem S-400 itu telah dihantar ke Turkiye pada 2019.
S-400 “Triumf”
Perolehan sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 “Triumf” buatan Russia oleh Turkiye dibuat selepas ia gagal mendapatkan sistem pertahanan udara Patriot buatan Amerika Syarikat.
Sistem pertahanan udara S-400 merupakan sistem pertahanan udara berkuasa tinggi yang mampu memusnahkan ancaman udara daripada jarak sejauh 400km.
Perkembangan terkini tentang F-35 itu menyusuli pengumuman Guler baru-baru ini bahawa Jerman telah memberi lampu hijau kepada penjualan 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turkiye.
Dengan pengumuman itu, Jerman telah mengugurkan bantahannya terhadap cadangan perolehan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon oleh Turkiye.
Kerajaan Jerman pada mulanya membantah penjualan pesawat pejuang terbabit kepada Turkiye tetapi akhirnya bersetuju selepas didesak oleh negara-negara Eropah yang membangunkan Eurofighter Typhoon.
“Kami akan membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon. Jerman telah membantah penjualan itu untuk suatu jangka masa yang lama tetapi akhirnya bersetuju selepas rakan-rakan NATO seperti Itali, United Kingdom dan Sepanyol mendesak, akhirnya Jerman bersetuju,” kata Menteri Pertahanan Turkiye itu.
Eurofighter Typhoon
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat buah negara, Jerman, United Kingdom, Sepanyol dan Itali.
Menteri Pertahanan Turkiye itu juga mengumumkan bahawa negara itu membatalkan pembelian 79 kit pemodenan pesawat pejuang F-16 yang sebelum ini telah pun dipersetujui dengan Amerika Syarikat.
Pembatalan pembelian kit pemodenan F-16 itu adalah kerana industri pertahanan tempatan Turkiye seperti Turkish Aerospace Industries (TUSAS) berkemampuan memodenkan pesawat-pesawat F-16 milik yang berusia menggunakan teknologi sendiri tanpa perlu bergantung kepada Amerika Syarikat.
Ankara bagaimanapun akan meneruskan pembelian 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70. — DSA  

AmerikaF-35featuredTurkiye