Amerika Sedia “Terima Kembali” Turkiye Dalam Keluarga Pesawat Pejuang F-35

Turkiye sepatutnya memperolehi 100 buah pesawat F-35 buatan Lockheed Martin itu, tetapi Washington bertindak “mengeluarkan” Ankara daripada program pembangunan pesawat terbabit selepas negara Mediterranean itu bertindak membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat bersedia “menerima kembali” Turkiye ke dalam program pesawat pejuang generasi kelima, F-35 walaupun kedua-dua negara masih bertelagah tentang pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia oleh Ankara.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Victoria Nuland semasa temuramah dengan CNN Turk di Turkiye.

“Jika kita dapat menyelesaikan isu sistem pertahanan udara S-400 (buatan Russia yang dibeli oleh Turkiye), di mana kita (Amerika Syarikat) mahu menyelesaikannya. Amerika Syarikat amat gembira untuk menerima kembali Turkiye ke dalam keluarga F-35.”

“Jika kita dapat mengatasi isu ini, isu CAATSA itu akan hilang dan kita boleh kembali ke perbincangan mengenai F-35,” kata beliau.

Nuland berkata, kedua-dua sedang berunding tentang perolehan sistem pertahanan udara Patriot oleh Turkiye apabila kerajaan Recep Tayyep Erdogan “tiba-tiba” mengubah haluannya (dan membeli sistem S-400 buatan Russia).

Amerika Syarikat mahu menyelesaikan segala permasalahannya dengan Turkiye dan memastikan negara Mediterranean itu memiliki pertahanan udara yang kuat.

F-35 Turkiye ketika didedahkan pada tahun 2018

 

Turkiye sepatutnya memperolehi 100 buah pesawat F-35 buatan syarikat Lockheed Martin itu, tetapi Washington bertindak “mengeluarkan” negara Mediterranean itu daripada program pembangunan pesawat terbabit selepas Ankara bertindak membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

Sebagai negara anggota penting NATO, Turki diberikan “keutamaan” dalam perolehan pesawat generasi kelima itu.

Malah Ankara telah membayar “wang pendahuluan” sebanyak US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) kepada Amerika Syarikat untuk menyertai program pembangunan pesawat itu.

Ankara mengambil keputusan memperolehi sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia selepas permintaannya untuk memperolehi sistem pertahanan udara “Patriot” buatan Amerika Syarikat ditolak oleh Washington.

Pentadbiran Presiden Reccep Tayyep Edrogan telah beberapa kali meminta supaya Amerika Syarikat memulangkan semula wang pendahuluan berjumlah US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) yang telah dibayarnya untuk pesawat F-35 atau diberikan produk pertahanan yang lain, tetapi tidak dilayan oleh Washington.

Pesawat F-35 Turkiye

 

Amerika Syarikat bimbang Russia akan menggunakan sistem pertahanan udara S-400 yang dibekalkannya kepada Turki dan diintergrasikan dengan sistem pertahanan udara NATO untuk mengintip maklumat-maklumat sensitif tentang keupayaan pesawat F-35.

Beberapa hari lalu, Turkiye akhirnya diberikan kebenaran oleh Amerika Syarikat untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 79 kit pemodenan bernilai US$23 bilion (RM103 bilion), selepas parlimen negara Mediterranean itu meluluskan undang-undang kemasukan Sweden sebagai negara anggota NATO.

Turkiye adalah diantara negara pengguna terbesar pesawat pejuang F-16 di luar Amerika Syarikat dengan lebih daripada 250 buah pesawat itu.

Bagaimanapun beberapa jam selepas memberikan persetujuan kepada Turkiye itu, Washington pula memaklumkan kepada kongres negara tu bahawa ia berhasrat untuk menjual 40 buah pesawat pejuang generasi kelima, F-35 kepada “seteru” Turkiye iaitu Greek.

Kesemua pesawat pejuang F-35 yang akan dijual kepada Greek itu dianggarkan bernilai US$8.6 bilion (RM38.7 bilion). — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

AmerikaF-35featuredTurkiye