(DEFENCE SECURITY ASIA) – Thailand masih berharap untuk memiliki pesawat pejuang generasi kelima F-35 buatan Amerika Syarikat, walaupun pada tahun lepas Washington menyatakan bahawa negara Asia Tenggara “belum bersedia” untuk mengoperasikan pesawat pejuang moden itu.
Sebagaimana dipetik berkata oleh media tempatan hari ini, Panglima Tentera Udara Thailand Punpakdee Pattanakul berkata, pihak telah memohon sejumlah peruntukan untuk tahun fiskal tahun depan untuk pembelian pesawa-pesawat pejuang terbaru untuk tentera udara negara itu.
Antara pesawat-pesawat pejuang yang dicadang dibeli oleh Thailand adalah F-35 dan Gripen E/F.
Pernyataan F-35 sebagai salah satu pesawat pejuang dicadang dibeli Thailand membuktikan bahawa tentera udara negara itu masih belum berputus-asa dalam impiannya untuk membeli pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat itu.
Kira-kira setahun selepas “penolakan” Amerika Syarikat terhadap hasrat Bangkok untuk memiliki pesawat pejuang F-35, Thailand masih memasang impian untuk memiliki pesawat pejuang itu.
Thailand mahu menjadi negara kedua di Asia Tenggara selepas Singapura memiliki pesawat pejuang F-35 itu.
Pada Mei tahun lepas, media-media di Thailand telah mendedahkan bahawa Washington telah memaklumkan bahawa belum tiba masanya untuk negara Asia Tenggara itu memiliki pesawat generasi kelima itu.
“Menurut sumber daripada Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF), Duta Amerika ke Thailand Robert Gordec (pada ketika itu) telah bertemu dengan panglima Tentera Udara Thailand ketika itu, Alongkorn Wannarot untuk menyampaikan keputusan oleh kerajaan Amerika Syarikat itu,” kata media Thailand.
Media Thailand menyatakan bahawa negara itu tidak memiliki infrastruktur dan jaminan keselamatan untuk memiliki dan mengoperasikan pesawat F-35.
Ia meliputi keselamatan pangkalan udara yang akan menempatkan pesawat F-35 itu, penyelenggaraan, juruterbang serta krew-krew yang terlibat dengan pengoperasian pesawat itu.
Duta Amerika itu menyatakan bahawa Washington bersedia untuk berbincang dengan Bangkok sekali lagi sekiranya negara Asia Tenggara itu telah bersedia untuk memiliki pesawat generasi kelima itu pada masa depan.
Sebaliknya Amerika Syarikat telah menawarkan kepada Thailand pesawat-pesawat pejuang lain untuk dipertimbangkan oleh negara itu bagi menggantikan pesawat F-35 yang diimpi-impikan oleh Thailand tidak dilayan oleh Washington.
Washington dikatakan telah menawarkan kepada Thailand, varian terkini F-16 Block 70 dan juga F-15 berkemunginan varian “EX” sebagaimana yang bakal dimiliki oleh Indonesia.
Baru-baru ini, laporan media negara Gajah Putih itu menyatakann bahawa Tentera Udara Thailand bakal mendedahkan rancangan pembangunannya dalam satu symposium, meliputi usaha memperolehi 12 buah lagi pesawat pejuang Gripen buatan Sweden, bagi menambah 12 buah pesawat pejuang itu yang sudah pun dimilikinya ketika ini.
“Rancangan pembangunan Tentera Udara Thailand itu akan menyertakan perancangannya untuk mendapatkan pesawat pejuang baru bagi menggantikan kira-kira 40 buah F-16 miliknya yang sudah berusia dan perlu dibersarakan pada tahun 2028,” Panglima Tentera Udara Thailand.
Perolehan pesawat pejuang baru untuk negara Asia Tenggara itu dijangka akan bermula pada tahun 2025 dan dilaksanakan di dalam tiga fasa.
Walaupun Thailand masih menaruh harapan untuk memiliki F-35, namun media negara itu menyatakan pilihan utamanya pada ketika ini adalah pesawat pejuang Gripen buatan Sweden memandangkan negara itu telah pun memiliki 12 buah pesawat itu pada ketika ini.
Kesemua 12 buah pesawat pejuang Gripen Thailand beroperasi di sebuah pangkalan udara di Surat Thani di selatan negara itu.
Thailand memperolehi 12 buah pesawat pejuang Gripen yang dibangunkan oleh Saab Group daripada Sweden itu pada 2011, tetapi salah sebuah daripada pesawat pejuang itu terhempas pada pertunjukan udara di Hatyai beberapa tahun lepas.
Negara Asia Tenggara itu juga menggunakan sebuah pesawat amaran awal (AEWC) “Erieye” yang diperolehinya bersama-sama pesawat pejuang Gripen itu.
Selain Gripen, terdapat juga spekulasi menyatakan bahawa Thailand mungkin berminat kepada varian terkini F-16 Block 70, selepas usahanya untuk membeli pesawat pejuang F-35 daripada Amerika Syarikat ditolak oleh Washington. — DSA
To contact email: lulwabyadah@gmail.com