(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Oktober tahun lepas, kerajaan Kazakhstan telah mengiklankan penjualan 117 buah pesawat pejuang dan pengebom miliknya yang diperolehi ketika negara Asia Tengah itu masih menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet (Soviet Union).
Pesawat-pesawat pejuang dan pengebom berserta enjin-enjinnya yang mahu dijual oleh oleh negara Asia Tengah itu terdiri daripada MiG-31, MiG-27, MiG-29 dan Su-24 yang dibina ketika ketegangan era Perang Dingin pada 1970-an dan 1980-an.
Kazakhstan mahu menjual pesawat-pesawat pejuang dan pengebom era Kesatuan Soviet itu ia sudah tidak boleh dioperasikan lagi kerana sudah terlalu usang dan usaha memperbaikinya disifatkan tidak ekonomik lagi.
Antara pesawat pejuang yang mahu dijual segera oleh Kazakhstan adalah 10 buah pesawat MiG-31 pada harga US$1 juta (RM4.5 juta) untuk kesemua pesawat itu.
Laporan terkini menyatakan bahawa sebahagian daripada 117 buah pesawat era bekas Soviet milik Kazakhstan telah pun mempunyai pembelinya.
Pembelinya adalah Amerika Syarikat, yang dilaporkan telah membeli 81 daripada 117 buah pesawat pejuang yang telah diiklankan pada harga purata US$20,000 (RM95,000) bagi setiap sebuah pesawat yang dibeli itu atau sekitar US$2.26 juta (RM10.7 juta) secara keseluruhannya.
Pembelian pesawat-pesawat pejuang dan pengebom Kazakhstan itu dilakukan oleh syarikat pesisir (offshore company).
Setakat ini tidak diketahui motif utama disebalik keputusan Amerika Syarikat membeli pesawat-pesawat kombat usang itu, tetapi banyak pihak membuat spekulasi bahawa pesawat-pesawat dibeli Amerika itu akan dipindahkan kepada Ukraine.
Tentera Udara Ukraine masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang dan pengebom yang dibuat ketika era Kesatuan Soviet.
Spekulasi menyatakan bahawa Tentera Udara Ukraine berkemungkinan akan menggunakan pesawat-pesawat pejuang dan pengebom diperolehinya daripada Kazakhstan yang masih berkeadaan baik atau menjadikannya stok-stok bekalan alat ganti untuk pesawat kombat sedia ada.
Walauapapun, sekiranya benar Kazakhstan telah menjual pesawat-pesawat itu kepada Amerika Syarikat, ,maka ia sudah pasti akan menjadikan hubungan di antara Kazakhstan dan Russia yang telah pun dingin pada ketika menjadi semakin dingin.
Hubungan dua hala di antara Astana dan Moscow dingin sejak akhir-akhir ini, dengan Kazakhstan yang sebelum ini secara tradisionalnya adalah rapat dengan Russia mula menjalin hubungan yang lebih rapat dengan negara-negara Barat.
Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev telah melakukan lawatan rasmi ke Jerman pada tahun lepas, manakala Presiden Perancis Emmanuel Macron turut melawat Kazakhstan beberapa bulan lepas.
Malah, Perancis cuba menarik perhatian Kazakhstan untuk membeli pesawat pejuang Rafale.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken dan Menteri Luar Britain David Cameron juga telah berkunjung ke Kazakhstan sebelum ini.
Menurut laporan sebelum ini, proses penjualan pesawat-pesawat kombat milik Kazakhstan itu dilaksanakan oleh agensi kerajaan negara itu dikenali sebagai “Kazspecexport.”
Kazakhstan merupakan bekas negara anggota Kesatuan Soviet dan mewarisi banyak aset-aset milik kesatuan itu termasuk pesawat-pesawat pejuang dan pengebom apabila blok komunis itu berpecah pada 1990-an.
Kazakhstan itu kemudiannya memperolehi kemerdekaan tetapi masih mengekalkan hubungan ketenteraan dan keselamatan yang rapat dengan Russia.
Negara Asia Tengah itu juga merupakan negara anggota Collective Security Treaty Organisation (CSTO).
CSTO yang ditubuhkan pada 2002 adalah pakatan ketenteraan melibat enam negara bekas anggota Kesatuan Soviet iaitu Armenia, Belarus, Kazakhstan, Russia, Kyrgyzstan dan Tajikistan.
Bagi menggantikan pesawat-pesawat pejuang bekas Kesatuan Soviet yang telah usang, Kazakhstan telah memperolehi pesawat-pesawat yang lebih moden daripada Russia seperti Su-30SM dan pelbagai sistem pertahanan canggih yang lain.
Kazakhstan bercadang memperolehi tiga buah skuadron 36 pesawat Su-30SM. — DSA