10 Buah Pesawat Pengebom H-6 China Lakukan “Simulasi Serangan” Di Laut China Selatan

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dilapor mengadakan latihan tentera di Laut China Selatan baru-baru ini,  melibatkan simulasi serangan oleh sekurang-kurangnya 10 buah pesawat pengebom Xian H-6J dan H-6H terhadap beberapa “sasaran maritim” di Laut China Selatan.

Menurut akhbar nasionalis China “Global Times” yang mempunyai hubungan rapat dengan tentera China berkata, latihan itu menunjukkan negara Komunis itu mempunyai kemampuan untuk menangani ancaman daripada kapal-kapal musuh.

Kapal-kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Amerika, USS Nimitz dan USS Theodore Roosevelt mengadakan “dual carrier operations” di Laut China Selatan baru-baru ini. (gambar kredit U.S 7th Fleet)

Latihan yang melibatkan kapal-kapal perang dan pesawat pengebom itu berlaku tidak lama selepas dua buah kapal pengangkut pesawat tentera laut Amerika Syarikat, USS Nimitz dan USS Theodore Roosevelt serta kapal pengiring mereka berada di Laut China Selatan.

Menurut penganalisis yang dipetik oleh akhbar terbabit, latihan itu melibatkan 10 buah pesawat pengebom H-6J dan H-6H daripada Southern Theatre Command Naval Aviation Force, yang  melakukan “serangan maritim” terhadap sasaran-sasaran yang dikenalpasti selain menguji koordinasi di antara juruterbang baru dan lama pesawat pengebom itu.

Pesawat pengebom H-6 bersama barisan peluru berpandu yang mampu dibawanya.

Pesawat pengebom H-6J merupakan pesawat pengebom tercanggih tentera laut China yang mampu membawa enam buah peluru berpandu anti kapal selain electronic countermeasures manakala pesawat pengebom H-6H pula adalah versi yang agak berusia.

Walaupun berusia tetapi pesawat pengebom H-6H itu masih mampu membawa empat buah peluru berpandu anti kapal itu.

USS Nimitz dan USS Theodore Roosevelt turut mengadakan “dual carrier operations” di Laut China Selatan, sekaligus menunjukkan kemampuannya untuk berhadapan dengan ancaman daripada tentera China.

Selain kehadiran dua buah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, kapal-kapal destroyer negara itu turut berlayar berhampiran pulau buatan manusia didakwa milik China di Kepulauan Spratly dan di Selat Taiwan.

China mendakwa sebahagian besar daripada Laut China Selatan sebagai miliknnya.

Selain Amerika Syarikat, Perancis turut dilaporkan akan menghantar kapal Landing Helicopter Dock (LHD) “Tonnerre” dan kapal friget, “Surcouf” ke Laut China Selatan untuk berinteraksi dengan negara-negara sahabat.

Baru-baru ini, kapal selam Perancis kelas-Rubis yang berkuasa nuklear turut mengadakan latihan dengan kapal tentera laut Indonesia di kawasan perairan berhampiran Selat Sunda.

Tentera Laut British akan menghantar kapal pengangkut pesawatnya “HMAS Queen Elizabeth” bersama-sama kapal pengiringnya ke Laut China Selatan tahun ini.

Kerahan kapal-kapal perang daripada Amerika Syarikat, Perancis dan United Kingdom ini bakal meningkatkan lagi ketegangan dengan China di perairan yang begitu penting untuk perdagangan di dunia.

— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaH-6HH-6JLaut China SelatanPesawat Pengebom
Comments (0)
Add Comment