Kapal Perang China “Shadow” USS John S.McCain Di Kepulauan Paracel

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sehari selepas melakukan pelayaran di Selat Taiwan yang dikecam hebat oleh Beijing, kapal destroyer kelas Arleigh Burke tentera laut Amerika Syarikat USS John S. McCain belayar pula berhampiran Kepulauan Paracel di Laut China Selatan.

China mendakwa Kepulauan Paracel itu sebagai miliknya dan telah menambak beberapa terumbu diperairan itu sebagai “man-made islands” dan menjadikannya sebagai pangkalan untuk pesawat-pesawat serta kapal-kapal perangnya.

Anak kapal USS John S.McCain memerhati kehadiran sebuah kapal perang asing tidak dikenali ketika melakukan FONOP di Kepulauan Paracel. (gambar kredit 7th Fleet)

Kehadiran USS John S.McCain berhampiran Kepulauan Paracel itu tidak disenangi oleh China yang telah telah mengerahkan kapal-kapal laut serta pesawat peninjau untuk memerhati (shadow) pelayaran kapal perang Amerika Syarikat berhampiran kepulauan yang didakwa miliknya.

Tentera Laut Amerika Syarikat turut mengeluarkan gambar kehadiran sebuah kapal perang China yang dipercayai mengawasi pelayaran kapal destroyer USS John S.McCain di Kepulauan Paracel itu. Menurut Washington, pelayaran kapal perangnya di Paracel berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini, dengan segala “interaksi” dengan kapal perang asing dilakukan secara professional.

Kapal destroyer USS John S. McCain ketika melakukan FONOP berhampiran Kepulauan Paracel. (gambar kredit 7th Fleet)

Menurut jurucakap 7th Fleet Tentera Laut Amerika Syarikat Lt Joe Keiley berkata kapal USS John McCain melaksanakan pelayaran “Freedom Of Navigation and Operation” (FONOP)  berhampiran Kepulauan Paracel.

FONOP berhampiran Kepulauan Paracel itu adalah selaras dengan peruntukan undang-undang antarabangsa.

Pelayaran FONOP menurut Amerika Syarikat mencabar sekatan pelayaran yang dikenakan oleh China di Laut China Selatan.

China kerapkali menghantar kapal-kapal tentera laut dan pengawal pantainya untuk mengawasi dan “menghalau” mana-mana kapal asing daripada cuba menghampiri mana-mana “pulau buatan manusia” yang didakwa milikinya di Kepulauan Paracel dan Spratly di Laut China Selatan.

Sementara itu,kapal pengangkut pesawat USS Nimitz telah pun berada di Laut China Selatan selepas  dikesan memasuki Selat Melaka semalam.

Beberapa keping gambar menunjukkan USS Nimitz dan kapal pengiringnya belayar di Singapura semalam.

Kapal pengangkut USS Nimitz di Singapura ketika dalam pelayaran ke Laut China Selatan. (kredit Twitter)

Kapal pengangkut pesawat itu sedang dalam pelayaran ke Bremeton, Washington selepas menamatkan operasi selama 240 hari di Timur Tengah.

USS Nimitz dijangka mengadakan latihan bersama-sama sebuah lagi kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt di Laut China Selatan.

USS Theodore Roosevelt kini berada di Guam.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Amerika SyarikatChinaFONOPParacelSpratlyUSS John S.McCain