Tentera Darat Lancar ASTROS II Dalam Latihan “Lembing Sakti”

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menyaksikan Tembakan Sistem Roket Lancar Berganda (SRLB) ASTROS II dalam Eksesais LEMBING SAKTI di Tanjung Hantu, Lumut pada 7 Dis 2020.

Eksesais yang melibatkan 59 pegawai dan 382 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan Markas Briged Roket, Rejimen 51 Artileri Diraja (51 RAD), 52 RAD dan 61 RAD, eksesais ini merupakan latihan tembakan SRLB ASTROS II yang dilaksanakan pada setiap tahun bertujuan menguji tembakan Complete Round Proof (CRP) bagi memanjangkan jangka hayat roket.

Selain itu, Eksesais LEMBING SAKTI ini juga menguji dan menilai kompetensi pegawai serta anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dalam melaksanakan tembakan roket hidup dan tahap kesiagaan pasukan yang mana turut dibantu oleh TLDM, TUDM dan agensi penguatkuasa awam setempat dalam keselamatan latihan.

Terdahulu sebaik ketibaan PTD, beliau disambut oleh Pengerusi Rejimen Artileri Diraja, Brig Jen Dato’ Dr Hj Ibrahim Yasir lalu menerima ucapan aluan daripada Panglima Bgd Arti Roket, Brig Jen Zulmajdi Yunus dan taklimat latihan oleh Pegawai Memerintah 51 RAD, Lt Kol Mohd Nidzam Yaacob seterusnya menyaksikan latihan tembakan SRLB ASTROS II.

Mengimbas akan sistem SRLB ASTROS II ini, ianya diperoleh dari firma Avibras, Brazil dan telah ditauliahkan dalam Rejimen Artileri sejak tahun 2002 dengan kekuatan satu rejimen dan penambahan jumlah dengan pembentukan rejimen kedua SRLB ASTROS menjadikan jumlah sistem artileri roket berganda ini meningkat kepada 36 buah kenderaan.

Sistem artileri ini memberikan TD keupayaan serangan strategik yang mampu menjangkau jarak dari sembilan kilometer (km) sehingga 90km dengan pelancar yang boleh menggunakan roket berkaliber pelbagai.

Pada masa sama, ianya sesuai dengan jarak serangan yang dikehendaki selain lancaran berganda ini mampu menyebabkan kemusnahan skala besar pada kawasan sasaran yang dikehendaki seiring dengan nama ASTROS yang bermaksud Artillery Saturation Rocket System.

Kesemua roket menggunakan kepala peledak HE yang mana Tiub pelancar roket pada sistem ASTROS II ini boleh ditukar ganti bersesuaian dengan roket yang digunakan dan setakat ini Avibras dikatakan telah membangunkan keupayaan melancarkan peluru berpandu jelajah pada sistem ASTROS 2020 dengan jangkauan jarak sehingga 300km.

Gambar kredit Berita Tentera Darat Malaysia

Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Datuk Hj Ruji Hj Ubi, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Dato’ Muhamad Ridzwan Abdul Rahman, Panglima 2 Div, Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samira, Panglima Logistik Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Md Fuad Abd Jalil dan Asisten Ketua Staf (AKS) Operasi dan Latihan TD, Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail.

— sumber berita dan gambar dari Berita Tentera Darat Malaysia

ASTROS IILembing SaktiTentera Darat
Comments (0)
Add Comment