Indonesia Kerah UAV Ke Natuna dan Tarakan Berhampiran Sabah

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Indonesia dikatakan telah mengerahkan pesawat tanpa pemandu (UAV) miliknya, CASC CH-4 Rainbow ke kepulauan Natuna untuk mengawasi perairan miliknya di Laut China Selatan.

Selain itu media-media pertahanan Indonesia juga mengatakan CASC CH-4 milik Indonesia juga akan ditempatkan di Tarakan, yang terletak berhampiran dengan Sabah.

Mengapa di kepulauan Natuna — mungkin Jakarta bimbang dengan kehadiran kapal-kapal pengawal pantai China serta bot-bot nelayan negara Komunis yang telah beberapa kali cuba menceroboh kawasan perairan Indonsia di kepulauan Natuna.

CH-4 milik Tentera Indonesia. (foto kredit pemilik)

Pada Sept lepas,  kapal milik Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) Indonesia telah menghalau sebuah kapal pengawal pantai China yang menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) negara itu di utara Laut Natuna berhampiran Kepulauan Riau.

Menurut akhbar Jakarta Post, kapal pengawal pantai China itu dikenali dengan no penantnya, 5204 telah dikesan oleh kapal BAKAMLA iaitu KN Nipah menerusi Automatic Identification System (AIS).

Menurut BAKAMLA lagi, kapal pengawal pantai China itu bertegas ia mempunyai hak untuk meronda disekitar perairan yang ditakrif sebagai miliknya di bawah “Nine Dash Line”.

Oleh kerana itulah Jakarta memerlukan “mata dan telinga” untuk mengawasi pergerakan aset-aset milik China daripada menghampiri perairan Indonesia.

Menggunakan aset dibuat oleh China untuk mengawasi pencerobohan oleh China.

Manakala bagi penempatan CH-4 di Tarakan pula, media-media pertahanan Indonesia itu mengatakan ia akan memantau kawasan-kawasan sempadan Indonesia dengan Malaysia di Kalimantan Utara serta Sabah.

Anggota tentera Indonesia sedang mempersiapkan dron CH-4 buatan China.

CH-4 menurut mereka juga akan mengawasi Ambalat, sebuah perairan yang kaya dengan sumber minyak dan gas tetapi pemilikannya masih dipertikaikan oleh Malaysia dan Indonesia.

Hubungan antara Malaysia dan Indonesia pernah tegang beberapa tahun dahulu disebabkan pertikaian mengenai pemilikan Ambalat.

Pernah dilaporkan oleh media Indonesia bahawa kapal perang mereka hampir melepaskan tembakan terhadap kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didakwa menceroboh perairan Ambalat.

Media Indonesia juga pernah melaporkan bahawa Komando Strategis Angkatan Darat (KOSTRAD) akan dikerahkan ke perairan Ambalat untuk mempertahankan kedaulatan Indonesia.

Perairan Ambalat yang dipertikaikan.

UAV CH-4 ini diperbuat oleh syarikat China Aerospace Science and Technology Corporation (CASC) dan berkemampuan untuk terbang selama 30 jam serta membawa pelbagai jenis sistem persenjataan.

Antara sistem persenjataan yang mampu dibawa oleh CH-4 termasuklah peluru berpandu “Lan Jian (Blue Arrow 7)” dan “HJ-10” peluru berpandu anti kereta kebal.

Menurut laporan media pertahanan antarabangsa, Indonesia dipercayai memiliki sehingga empat buah CH-4 yang dibelinya daripada China.

Indonesia juga memiliki UAV Aerostar buatan Israel.

Pegawai-pegawai Indonesia bersama dron CH-4. (foto internet)

— DEFENCE SECURITY ASIA

CH-4IndonesiaNatunaPesawat Tanpa PemanduTarakanUAV