Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Afghanistan: Amerika Kerah Pesawat Pejuang F-18 Kawal Ruang Udara Kabul

Penduduk dan media-media tempatan hari melaporkan kedengaran pesawat-pesawat pejuang terbang rendah di ruang udara Kabul.

0 976

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat telah mengerah pesawat-pesawat pejuang F-18 lengkap bersenjata untuk mengawal ruang udara di Kabul bagi memastikan proses pemindahan rakyatnya di Lapangan Terbang Kabul selamat daripada segala bentuk ancaman daripada militan Taliban.

Penduduk dan media-media tempatan hari melaporkan kedengaran pesawat-pesawat pejuang terbang rendah di ruang udara Kabul.

Menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat atau lebih dikenali sebagai Pentagon, pesawat-pesawat pejuang F-18 terbabit beroperasi daripada kapal pengangkut pesawat, USS Ronald Reagan yang kini berada di utara Laut Arab.

Pesawat-pesawat F-18 terbabit meronda ruang udara Kabul dan akan memberikan bantuan udara (close air support) sekiranya diperlukan oleh anggota tentera Amerika Syarikat yang kini mengawal keselamatan di Lapangan Terbang Kabul.

Keadaan di Lapangan Terbang Kabul masih huru-hara dengan ribuan cuba memasuki kawasan perimeternya yang kini dikawal ketat oleh tentera Amerika Syarikat.

F-18

Menurut Pentagon, pihaknya telah memindahkan kira-kira 7,000 orang daripada Afghanistan setakat ini.

Di luar kawasan lapangan terbang, militan Taliban cuba mengawal ribuan penduduk yang mahu memasuki kawasan lapangan terbang dengan harapan dapat menaiki salah sebuah pesawat tentera asing untuk meninggalkan negara yang kini diperintah oleh Taliban.

Terdapat laporan mengatakan kira-kira 10,000 rakyat Amerika Syarikat masih berada di Kabul ketika ini dan gagal pergi ke lapangan terbang disebabkan keadaan keselamatan yang masih meruncing di ibu negara Afghanistan itu.

Amerika Syarikat dilaporkan telah berunding dengan Taliban dalam usaha untuk memastikan keselamatan rakyatnya selamat dan mereka dibenarkan pergi ke Lapangan Terbang Kabul dengan selamat.

B-52
Pesawat pengebom B-52 sedang mengisi minyak.

 

Washington juga berusaha untuk menyelamatkan ribuan rakyat Afghanistan yang pernah bekerja dengannya dan membawa mereka Amerika Syarikat.

Pada ketika ini, terdapat kira-kira 5,000 anggota tentera Amerika di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Kabul, dikelilingi oleh militan Taliban yang telah pun berjaya menawan ibu negara Afghanistan itu.

Selain pesawat-pesawat pejuang F-18 daripada kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan, tentera Amerika Syarikat turut menghantar pesawat pengebom B-52, F-16, dron Predator ang berpangkalan di Timur Tengah untuk terlibat dengan misi di Afghanistan.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...