Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

LMS Ketiga TLDM “Badik” Tiba Di Kota Kinabalu Dari China

Menurut Markas Pemerintahan Armada Timur, ketibaan kapal LMS tersebut disambut oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.

0 8,230

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kapal Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ketiga “BADIK” telah selamat tiba di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu pagi tadi selepas menempuh pelayaran selama tujuh hari daripada Qidong, China.

Menurut Markas Pemerintahan Armada Timur, ketibaan kapal LMS tersebut disambut oleh Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali.

“LMS ketiga milik TLDM, BADIK selamat tiba di PTKK setelah menempuhi 7 hari pelayaran dari Qidong, China ke Kota Kinabalu,

“Ketibaan kapal yang dianggotai 45 orang kru ini telah disambut Panglima Armada Timur bersama barisan kepimpinan pagi tadi,” menurut markas dalam kenyataan menerusi media sosialnya.

Nama BADIK melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang serta menangkis serangan musuh.

Badik
Gambar oleh TLDM

 

Selain itu, BADIK juga adalah bersempena dengan nama sebuah kapal ronda Kelas KERIS yang telah dilucut tauliah pada tahun 2005.

Upacara penamaan LMS yang ketiga itu telah dilaksanakan dengan jayanya di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wuchang, Qidong, Nantong City, China.

“Badik merupakan kapal LMS ketiga TLDM dan akan menyertai Skuadron LMS ke-11 yang berpengakalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Skuadron tersebut kini mempunyai dua buah kapal LMS iaitu KD Keris dan KD Sundang yang telah beroperasi,” menurut TLDM dalam satu kenyataan hari ini.

Badik mula dibina pada 18 September 2019 dan telah dilancarkan ke permukaan air pada 28 Oktober 2020 oleh pasukan projek LMS TLDM di Wuhan.

Setelah menjalani ujian penerimaan di pelabuhan dan laut, kapal ini telah diserahkan secara rasmi kepada kerajaan Malaysia pada 14 September 2021 di Qidong, China.

Badik
Gambar oleh TLDM

 

Seramai tujuh pegawai dan 38 anggota lain-lain pangkat sebagai kru pertama telah menjalani latihan intensif selama 5 bulan di China.

Malaysia memperolehi empat buah kapal LMS yang dibina secara bersama antara Boustead Naval Shipyard (BNS) dan China Shipbuilding and Offshore Corporation (CSOC) di Wuchang Shipyard di Qidong, China.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...