Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kota Belud Bergegar “Di Bedil” Pesawat-Pesawat Pejuang TUDM

Hari ini, Eksesais ABABIL 2021 mencapai kemuncaknyanya dengan demonstrasi Tembakan Udara ke Permukaan Bumi (ATG) yang dilaksanakan di Lapang Sasar Udara (LASARUD), Kota Belud.

0 8,041

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penduduk di daerah Kota Belud, Sabah hari ini “digegarkan” dengan bunyi dentuman kuat bom-bom yang digugurkan oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada hari terakhir Eksesais ABABIL 2021.

Eksesais yang disertai oleh 446 anak-anak kapal dan anggota TUDM termasuk daripada Pasukan Khas Udara (PASKAU) telah bermula pada 7 September lepas.

Hari ini, Eksesais ABABIL 2021 mencapai kemuncaknya dengan demonstrasi Tembakan Udara ke Permukaan Bumi (ATG) yang dilaksanakan di Lapang Sasar Udara (LASARUD), Kota Belud.

Hadir menyaksikan hari kemuncak Eksesais ABABIL 2021 hari ini adalah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan pegawai-pegawai kanan ATM yang lain.

Eksesais ABABIL bermatlamat menguji keupayaan persenjataan aset-aset tempur milik TUDM di dalam pelaksanaan operasi udara, untuk menilai tahap kesiagaan (readiness) aset-asetnya dan sistem persenjataan pesawat tempur.

TUDM
Gambar kredit TUDM

 

Ia juga bertujuan meningkatkan kompetensi aset sumber manusia TUDM khususnya juruterbang dan anak-anak kapal, Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan elemen-elemen logistik tempur secara bersepadu.

Antara aset-aset TUDM yang terlibat dalam Eksesais ABABIL 2021 termasuklah pesawat tempur F/A-18D Hornet, Sukhoi SU-30MKM dan Hawk 208; pesawat angkut Hercules C130H; pesawat maritim Beechcraft B200T dan helikopter EC 725 AP.

Eksesais ABABIL 2021 merangkumi latihan Tembakan Misil Udara ke Udara (Air to Air Missile Firing – AAMF), Tembakan Misil Udara ke Permukaan (Air to Surface Missile Firing – ASMF) dan Tembakan Udara ke Permukaan Bumi (Air to Ground – ATG).

Beberapa siri latihan penembakan AAMF dan penembakan ASMF telahpun bermula pada 7 hingga 10 September 2021 yang lalu bertempat di Pangkalan Udara Labuan, Lapang Sasar Udara Kota Belud dan kawasan perairan Laut China Selatan.

“Demonstrasi penembakan udara ke permukaan bumi (ATG) pada hari ini telah menyaksikan pesawat pejuang TUDM membuat penembakan ke sasaran yang dikenalpasti.

TUDM
Gambar kredit TUDM

 

“Penembakan kesemua aset-aset persenjataan ini yang mengenai sasaran jelas membuktikan tahap profesionalisme, kepakaran, keupayaan dan kesiagaan warga dan aset-aset tempur TUDM dalam misi dan operasi pertahanan negara.

Kejayaan latihan pada hari ini juga adalah merupakan pencapaian yang diperolehi melalui komitmen dan pengorbanan mereka yang tidak terhingga bagi memastikan kesiagaan TUDM sentiasa berada di tahap tertinggi demi kedaulatan negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TUDM hari ini.

Menurut TUDM lagi, meskipun terdapat cabaran situasi krisis kesihatan global pada tahun ini, namun ia telah membuat perancangan yang teratur dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kekangan dan cabaran agar eksesais ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dan mencapai objektif yang ditetapkan.

TUDM
Pesawat pejuang TUDM melancarkan peluru berpandu. (gambar kredit TUDM)

 

Ianya selaras dengan Teras Keempat yang termaktub di dalam Perintah Ulung Panglima Tentera Udara iaitu “Memperkasakan Keupayaan Operasi TUDM”.

“Sejajar dengan visi TUDM untuk menjadi kuasa udara yang dominan dan berspektrum penuh, TUDM akan terus memastikan tahap keupayaan, kesiagaan dan kebolehoperasian (interoperability) yang tinggi menjadi keutamaan khususnya di dalam menjaga kedaulatan negara serta mendukung Kertas Putih Pertahanan dengan visi “Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur”, menurut kenyataan TUDM pada hari akhir Eksesais ABABIL 2021 itu.

TUDM
Gambar kredit TUDM

 

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...