“Kami Sedia Hadapi Segala Bentuk Ancaman, Provokasi” – Kata Tentera China
Menurut jurucakapmya Kolonel (Kanan) Shi Yi, segala taktik untuk menangani China oleh musuh-musuhnya, sama ada menerusi usaha politik atau ketenteraan tidak akan berjaya kerana tentera negara Komunis itu memiliki “keupayaan yang tidak boleh disaingi oleh mana-mana pihak.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera China bersedia untuk berhadapan dengan segala bentuk ancaman dan provokasi daripada mana-mana pihak terutamanya Amerika Syarikat, menurut jurucakap pemerintahan timur (eastern command) tentera negara itu.
Menurut jurucakapmya Kolonel (Kanan) Shi Yi, segala taktik untuk menangani China oleh musuh-musuhnya, sama ada menerusi usaha politik atau ketenteraan tidak akan berjaya kerana tentera negara Komunis itu memiliki “keupayaan yang tidak boleh disaingi oleh mana-mana pihak.”
Tentera China mengeluarkan kenyataan keras sebagaimana dipetik oleh akhbar nasionalis, Global Times, ketika kapal-kapal perang Barat berkumpul di Laut China Selatan yang diketuai oleh kapal pengangkut pesawat British, HMS Queen Elizabeth dan kira-kira 10 buah kapal pengiringnya dibawah Carrier Strike Group 2021 (CSG21).
Beberapa buah kapal perang Amerika Syarikat juga berada di Laut China Selatan pada masa ini.
Selain kapal-kapal perang negara-negara Barat, setiausaha pertahanan dan setiausaha negara Amerika Syarikat, Lloyd Austin serta Anthony Blinken juga berada di Asia sepanjang minggu ini bertemu dengan negara-negara seperti India, Singapura dan Vietnam.
China berkemungkinan mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan kemarahaanya kerana awal hari ini Amerika Syarikat telah menghantar sebuah kapal perangnya, USS Benfold belayar di Selat Taiwan, dalam satu tindakan yang dianggap oleh Beijing sebagai suatu provokasi dan mencabarnya.
Menurut jurucakap pemerintah timur tentera China itu, pesawat-pesawat dan kapal-kapal perang milik China telaj memantau dan “shadow” USS Benfold itu sepanjang pelayarannya di Selat Taiwan itu.
Ia adalah pelayaran kali ke-tujuh kapal perang Amerika Syarikat di Selat Taiwan tahun ini sejak Jo Biden mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat.
“Provokasi-provokasi itu (oleh kapal perang Amerika Syarikat) hanya membuktikan bahawa Washington merupakan pemusnah kepada keamanan dan kestabilan di Selat Taiwan,” kata pegawai tentera China itu kepada Global Times.
Tentera China katanya bersedia untuk menjaga kedaulatan negara itu.
China menganggap sebarang pelayaran oleh mana-mana kapal perang asing di Selat Taiwan sebagai satu tindakan provokasi terhadapnya.
Beijing tetap mengatakan bahawa Taiwan masih sebahagian China dan mahu pulau kembali ke pangkuannya secara aman atau kekerasan.