Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Keadaan Di Laut China Selatan Semakin Tegang, China Kerah Kapal Pengangkut Pesawatnya

Kapal pengangkut pesawat “Shandong” itu dikesan berada tidak jauh daripada Pulau Hainan, yang menempatkan pangkalan lautnya yang penting iaitu “Yulin Naval Base.”

0 4,736

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keadaan di Laut China Selatan pada ketika ini semakin tegang dengan China turut mengerahkan kapal pengangkut pesawatnya, “Shandong” dan kapal-kapal pengiringnya ke perairan itu, yang dilihat sebagai satu tindakan untuk mencabar kehadiran kapal pengangkut pesawat British, HMS Queen Elizabeth dan CSG21.

Kapal pengangkut pesawat “Shandong” itu dikesan berada tidak jauh daripada Pulau Hainan, yang menempatkan pangkalan lautnya yang penting iaitu “Yulin Naval Base.”

Walaupun kehadiran “Shandong” itu kemungkinan adalah sebahagian daripada latihan tentera, tetapi ia lebih dilihat sebagai satu cubaan Beijing untuk mencabar “kemunculan” kapal pengangkut pesawat British, HMS Queen Elizabeth dan Carrier Strike Group 21 (CSG21) yang kini juga berada di Laut China Selatan.

Turut bersama-sama pelayaran HMS Queen Elizabeth di Laut China Selatan adalah kira-kira 10 buah kapal perang daripada United Kingdom, Amerika Syarikat dan Belanda.

Pada ketika ini, HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal CSG21 dipercayai berada tidak jauh daripada Kepulauan Spratly di Laut China Selatan, yang pihak Beijing dakwa 90 peratus daripada keluasannya dimiliki oleh China.

Shandong
Kedudukan “Shandong” dan HMS Queen Elizabeth di Laut China Selatan. (kredit @duandang)

 

“Pulau-pulau buatan manusia” milik China juga terletak di Kepulauan Spratly seperti Fiery Cross, Mischief Reef dan lain-lain.

Pulau-pulau buatan manusia China di Spratly dan Paracel juga menjadi pangkalan tentera utama Beijing di Laut China Selatan.

Menghangatkan lagi keadaan, awal hari ini, sebuah kapal destroyer Tentera Laut Amerika Syarikat USS Benfold melakukan pelayaran di Selat Taiwan, kali ke-tujuh dilakukannya sejak Presiden Jo Biden mengangkat sumpah sebagai presiden.

Pelayaran kapal perang itu di Selat Taiwan telah diumumkan oleh U.S Seventh Fleet yang mengatakan bahawa pelayaran itu adalah adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa dan komitment Amerika Syarikat terhadap rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.

China menganggap sebarang pelayaran oleh mana-mana kapal perang asing di Selat Taiwan sebagai satu tindakan provokasi terhadapnya.

Beijing tetap mengatakan bahawa Taiwan masih sebahagian China dan mahu pulau kembali ke pangkuannya secara aman atau kekerasan.

(kredit @duandang)

 

Selaras dengan kehadiran HMS Queen Elizabeth dan CSG21, China semalam mengumumkan ia akan mengadakan latihan tentera termasuk menggunakan peluru hidup di Laut China Selatan.

Menurut pihak Maritime Safety Adminitration of China (MSA), latihan itu akan diadakan di perairan Chuandao di wilayah Guandong dan mana-mana kapal perlu menjauhi kawasan lima batu nautika semasa latihan diadakan.

Satu lagi kawasan latihan tentera China di Laut China Selatan adalah di perairan Maoming juga di wilayah Guangdong, sebagaimana satu lagi notis yang dikeluarkan oleh MSA.

“Tentera China akan memantau dengan teliti aktiviti kapal-kapal perang British dan bersedia untuk bertindak sekiranya melakukan perkara-perkara tidak sepatutnya. Mereka (tentera China) juga akan menggunakan latihan ini untuk mempelajari kapal perang terbaru British itu, “menurut seorang pakar tentera China kepada Global Times hari ini.

Akhbar nasionalis Global Times mempunyai hubungan yang rapat dengan Parti Komunis China dan kerajaan negara itu.

TLDM
Gambar kredit Commodore Steve Moorhouse di @smrmoorhouse

 

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...