Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Garuda Shield”, Latihan Tentera Terbesar Dalam Sejarah Indonesia-Amerika Syarikat

Kira-kira 4,500 anggota tentera kedua-dua negara akan terlibat dalam latihan bersama yang akan diadakan di Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi.

0 3,289

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Indonesia dan Amerika Syarikat akan melaksanakan latihan tentera bersama paling besar dalam sejarah ketenteraan kedua-dua negara dipanggil “Garuda Shield”, bermula pada 1 Ogos hingga 14 Ogos.

Kira-kira 4,500 anggota tentera kedua-dua negara akan terlibat dalam latihan bersama yang akan diadakan di Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi,  menurut jurucakap pihak tentera Indonesia Brig Jen Tatang Subarna sebagaimana dipetik dalam portal berita Benar News.

“Sebanyak 2,250 anggota tentera Amerika Syarikat telah pun tiba di Indonesia untuk menyertai latihan tentera itu dan mereka akan disertai oleh anggota tentera Indonesia dalam bilangan yang sama,” kata beliau.

Panglima Tentera Darat Indonesia Jeneral Andika Perkasa berkata, ini adalah kali pertama sebegitu ramai anggota tentera Indonesia akan berada Indonesia dan ia adalah sesuatu yang amat menarik.

Latihan tentera itu turut melibatkan tembakan peluru hidup, latihan medan, perubatan dan penerbangan.

Menurut portal berita itu, latihan “Garuda Shield” di Sumatera itu akan diadakan di pusat latihan tentera terbaru Indonesia di Baturaja seluas 3,000 ekar yang dilancarkan pada Disember tahun lepas.

Penganalisis berkata, latihan tentera terbesar antara Indonesia dan Amerika Syarikat itu menunjukkan keseriusan Washington berinteraksi dengan Jakarta sebagai rakan strategiknya dirantau itu ketika China juga cuba meluaskan pengaruhnya.

Latihan “Garuda Shield” itu tidak boleh dipisahkan daripada isu Laut China Selatan.

Pada June, pesawat-pesawat pejuang F-16 tentera udara Indonesia dan Amerika Syarikat terlibat dalam latihan selama dua minggu di Pekan Baru, Sumatera.

Jakarta dan Washington juga bekerjasama untuk membina sebuah pusat latihan pengawal pantai di Pulau Batam bernilai US$3.5 juta.

Pusat latihan di Batam itu adalah usahasama di antara Badan Keamanan Laut (BAKAMLA) Indonesia dengan US Coast Guard. Bagaimanapun tiada anggota tentera Amerika Syarikat akan ditempat di pusat latihan itu.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...