Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Usahawan Tawar Enam Buah Jentolak Bersihkan Kebun Durian Kontroversial Di Raub

Menurut usahawan yang dikenali sebagai “Ali Omar” berusia 34 tahun, tawaran kepada JPNP itu adalah secara percuma tanpa secara bayaran.

0 1,630

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Didorong oleh sikap ingin membantu pihak berkuasa, seorang usahawan tempatan tampil menawarkan enam buah jentolak miliknya kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) untuk membersihkan kebun durian haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.

Menurut usahawan yang dikenali sebagai “Ali Omar” berusia 34 tahun, tawaran kepada JPNP itu adalah secara percuma tanpa secara bayaran.

“Saya akan menghantar jentolak-jentolak milik saya ini dengan kadar segera untuk mempermudahkan urusan kerajaan negeri Pahang menebang dan menolak pokok-pokok yang ditanam secara haram itu,” kata usahawan dari Kuala Krai, Kelantan menerusi akaun media sosialnya hari ini.

Ali berkata beliau berhasrat untuk membantu anggota terlibat dalam operasi tersebut.

“Saya lihat dengan keluasan kawasan terlibat lebih 100 hektar, sangat luas jadi ia sedikit membebankan anggota terlibat.

“Dengan penggunaan lebih banyak jentolak ia akan mengurangkan beban dan masa anggota,” katanya ketika dihubungi oleh akhbar tempatan, Sinar Harian.

durian

Beliau meminta pihak berkuasa menghubunginya jika bersetuju dengan tawarannya itu.

Awal hari ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan ia akan menggerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) ke Raub, Pahang, bagi menjaga ketenteraman awam di daerah itu berikut kekecohan membabitkan pekebun durian dan anggota penguat kuasa, semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata beliau meminta semua pihak yang terbabit mematuhi peraturan undang-undang sedia ada.

“Pihak PGA di sana (Raub) adalah bagi memastikan keselamatan mereka terjaga semasa menjalankan tugas. PDRM tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mengganggu-gugat pihak berkuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

 

DEFENCE SECURITY ASIA/SINAR HARIAN

Comments
Loading...