Russia Kerah Ribuan Tentera Dan Senjata Ke Timur Ukraine, Cetus Kebimbangan Konflik Terbaru
Penambahan anggota tentera dan senjata canggih Russia di timur Ukraine ini sangat serius sehingga pihak U.S European Command (EUCOM) telah bertindak meningkat Tahap Ancaman (Threat Level) untuk Ukraine daripada “possible crisis” kepada “imminent crises”.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak seminggu yang lepas, Russia telah menghantar ribuan anggota tentera tambahan bersama-sama ratusan artileri, kereta perisai dan kereta kebal serta sistem persenjataan lain ke Crimea yang ditakluknya daripada Ukraine pada 2014 serta timur Ukraine.
Tindakan Russia ini dilihat oleh pemerhati Barat sebagai persediaan Vladimir Putin untuk melancarkan konflik baru dengan Ukraine.
Penambahan anggota tentera dan senjata canggih Russia di timur Ukraine ini sangat serius sehingga pihak U.S European Command (EUCOM) telah bertindak meningkatkan Tahap Ancaman (Threat Level) untuk Ukraine daripada “possible crisis” kepada “imminent crises”.
Tahap Ancaman “Imminent Crisis” ini adalah tahap ancaman yang paling tinggi, menandakan kemungkinan berlakunya konflik bersenjata antara Russia dan Ukraine berkemungkinan akan berlaku dalam masa terdekat ini.
Panglima Angkatan Tentera Ukraine Jeneral Ruslan Khomchak berkata, tindakan agresif Russia di Donbass (timur Ukraine iaitu wilayah Donetsk dan Luhansk) bukan sahaja merupakan ancaman kepada Ukraine tetapi juga kepada seluruh rakan-rakan NATO di Eropah.
Walaupun Ukraine bukan negara NATO, tetapi ia berhasrat untuk menganggotainya dan negara-negara NATO juga mahu menjadikan Kiev itu sebagai anggota pertubuhan itu.
Usaha Ukraine untuk menjadi anggota NATO juga merupakan salah satu isu yang membangkitkan kemarahan Russia.
Sementara itu Pengerusi Staf Bersama Tentera Amerika Syarikat Jeneral Mark A Milley juga telah menghubungi rakan-rakan sejawatannya di Russia dan Ukraine meminta mereka tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengakibatkan konflik bersenjata di timur Ukraine.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Anthony Blinken juga berkata negara itu akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Ukraine “walaupun berhadapan dengan tindakan agresif daripada Russia.”
Sementara itu jurucakap kerajaan Russia, Dimitry Peskov berkata, ia memandang berat peningkatan ketegangan di timur Ukraine dan melahirkan kebimbangan bahawa Ukraine akan memulakan konflik dengan Moscow.
Comments are closed.