10 Kapal Perang Iringi Pelayaran HMS Queen Elizabeth Ke Indo-Pasifik, Mencabar China
Sejak kunjungan Carrier Strike Group (CSG) HMS Queen Elizabeth ke Indo-Pasifik didedahkan, Beijing telah memberikan kritikan terbuka terhadap pelayaran terbabit yang disifatkannya sebagai suatu provokasi dan mencampuri urusan negara-negara littoral Laut China Selatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pada pertengahan tahun ini, United Kingdom akan menghantar kapal pengangkut pesawat terbarunya, HMS Queen Elizabeth bernilai US$3.9 bilion dan seberat 65,000 tan ke Indo-Pasifik termasuk Laut China Selatan yang Beijing dakwa sebagai miliknya.
Sejak kunjungan Carrier Strike Group (CSG) HMS Queen Elizabeth ke Indo-Pasifik didedahkan oleh media, Beijing telah memberikan kritikan terbuka terhadap pelayaran terbabit yang disifatkannya sebagai suatu provokasi dan mencampuri urusan negara-negara littoral Laut China Selatan.
Kunjungan HMS Queen Elizabeth ke Indo-Pasifik itu merupakan pergerakan flotilla kapal perang terbesar Tentera Laut Diraja British ke benua Asia sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Kapal pengangkut pesawat UK yang dianggarkan bernilai US$3.9 billion itu boleh membawa sehingga 35 buah pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning terdiri daripada satu skuadron Tentera Udara British dan satu skuadron United States Marine Corps (USMC).
HMS Queen Elizabeth bakal singgah di Asia Tenggara, terutamanya Singapura dipercayai menjadi pilihan destinasi persinggahannya sebelum meneruskan pelayarannya ke Laut China Selatan dan mengadakan latihan dengan kapal-kapal perang Jepun.
Ketika di Asia Tenggara, HMS Queen Elizabeth dijangka akan terlibat sama di dalam perayaan sambutan 50 tahun Five Power Defence Arrangement (FPDA).
Selain kapal pengangkut pesawat HMS Queen Elizabeth, kapal-kapal pengiringnya ke Indo-Pasifik akan terdiri daripada kapal destroyer termoden di Eropah iaitu Royal Navy (RN) HMS Diamond dan HMS Defender, kedua-duanya adalah Type 45 kapal pemusnah kelas-Daring.

Selain itu, kapal destroyer Tentera Laut Amerika Syarikat daripada kelas-Arleigh Burke “USS The Sullivans” juga akan turut serta dalam pelayaran HMS Queen Elizabeth ke Indo-Pasifik.
Kapal perang Australia juga dikatakan bakal menyertai pelayaran HMS Queen Elizabeth di Laut China Selatan.
Dua buah kapal friget tentera laut British, HMS Northhumberland dan HMS Kent serta sebuah kapal friget daripada Tentera Laut Belanda HNLMS Evertsen juga akan turut serta.
Comments are closed.