Rusia Bakal Perkenal “Anti-Drone Dome”, Lindungi Tentera dan Infrastruktur Kritikal
Rosoboronexport bakal mengetengahkan konsep pertahanan ant dron berlapis di Sidang Kemuncak Rusia-Afrika, menggabungkan pengawasan, persenjataan dan penindasan elektronik.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — ROSOBORONEXPORT JSC, sebahagian daripada Perbadanan Negara Rostec, akan memperkenalkan konsep terbaharu “Anti-Drone Dome” bagi melindungi penduduk, anggota tentera dan kemudahan daripada serangan dron pada Sidang Kemuncak Rusia-Afrika Ketiga di Gostiny Dvor, Moscow, pada 28 hingga 29 Oktober 2026.
Konsep pertahanan ant dron berlapis itu direka untuk melindungi kemudahan strategik dan infrastruktur, termasuk jambatan, bangunan serta kemudahan bahan api dan tenaga.
Perlindungannya turut merangkumi lokasi penempatan tentera yang berdepan ancaman serangan pesawat tanpa pemandu (UAV).
ROSOBORONEXPORT juga menawarkan konfigurasi perlindungan untuk konvoi pengangkutan serta kenderaan yang membawa individu berprofil tinggi atau kargo sensitif.
Projek itu dibangunkan dengan kerjasama pengeluar utama sistem pemintas dron Rusia serta wakil agensi penguatkuasaan undang-undang khusus.

Pembangunannya berasaskan pengalaman praktikal menangani UAV dalam operasi ketenteraan dan antikeganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Pengarah ROSOBORONEXPORT, Alexander Mikheev, berkata perlindungan infrastruktur kritikal daripada ancaman UAV kini menjadi tunjang keselamatan negara dan ekonomi serta asas kepada kemajuan teknologi.
“Struktur yang sesuai dan pelaksanaan sistem sedemikian menyumbang secara signifikan kepada keberkesanan pentadbiran kerajaan serta operasi perniagaan,” katanya.
Menurut beliau, sistem itu turut membantu melindungi rantaian bekalan dan memberikan keyakinan kepada pelabur bahawa pelaburan mereka terjamin.
“ROSOBORONEXPORT menawarkan pembangunan sistem pertahanan ant dron tempatan yang teguh dan boleh disesuaikan mengikut keperluan rakan kerjasama serta kemudahan tertentu,” katanya.
“Semua peralatan dan penyelesaian yang digunakan telah terbukti berkesan dalam keadaan sebenar,” kata Mikheev.
Pada sidang kemuncak itu, ROSOBORONEXPORT akan membentangkan konsep berkenaan kepada rakan kerjasamanya bersama pilihan sistem untuk membentuk rangkaian perlindungan “Anti-Drone Dome”.
(BACA) ROSOBORONEXPORT Sertai World Defense Show 2026 Dengan Senjata Generasi Baharu Rusia di Arab Saudi
Pertahanan Berlapis Gabungkan Pantsir, Peperangan Elektronik dan Sistem Laser
Anti-Drone Dome menggabungkan aset pengawasan ruang udara, pemintasan dan penindasan elektronik UAV serta langkah perlindungan fizikal dalam satu sistem pertahanan berlapis.
Seni bina itu turut merangkumi sistem maklumat geografi yang disepadukan dengan rangka kerja pemerintahan dan kawalan automatik.
Antara pilihan pemintasan yang ditawarkan ialah sistem peluru berpandu pertahanan udara Pantsir-SMD-E serta sistem peluru berpandu dan meriam pertahanan udara Pantsir-S1M, yang dibangunkan oleh High-Precision Systems.
Komponen lain termasuk sistem pertahanan udara mudah alih (MANPADS) Verba dan sistem pemusnah sasaran udara TKB-1167.

Rostec turut menawarkan sistem artileri pertahanan udara Citadel berkaliber 30mm yang menggunakan peluru letupan udara bagi menyebarkan serpihan untuk memusnahkan sasaran.
Menurut syarikat itu, pilihan persenjataan pemusnah UAV akan diperluas dalam masa terdekat dengan penambahan sistem laser keluaran besar-besaran serta sistem denyutan elektromagnet (EMP) yang kini berada pada peringkat akhir ujian.
ROSOBORONEXPORT turut mengetengahkan sistem pengesanan dan tindakan balas elektronik (ECM), termasuk Silok, Repellent-Patrol, Sky-Hunter 4PC serta Radeskan versi ant dron, bagi mengganggu saluran kawalan dan navigasi UAV.
Komponen serta fungsi Anti-Drone Dome boleh disesuaikan mengikut keperluan setiap pelanggan dengan mengambil kira ciri khusus kemudahan yang hendak dilindungi.
Menurut ROSOBORONEXPORT, semua komponen sistem berkenaan dibangunkan dan dihasilkan di Rusia.
(BACA) ROSOBORONEXPORT Gegar Dubai Airshow 2025 Dengan Pameran Senjata Berskala Penuh Terbesar
