Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Airbus Ramal Rantau Asia-Pasifik Memerlukan Sejumlah 19,500 Pesawat Baru Menjelang 2043

Tempahan besar yang terbaru bagi pesawat berbadan lebar di rantau ini turut merangkumi tempahan daripada Cathay Pasifik (A330neo), serta EVA Air, Japan Airlines dan Korean Air (A350), disokong pula oleh beberapa kempen berterusan yang dijangka akan terus memacu pertumbuhan.

0 407
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Airbus telah menerbitkan unjuran ramalan pasaran serantau terbaru, yang menjangkakan bahawa sektor penerbangan akan memerlukan sejumlah 19,500 pesawat baru bagi tempoh 20 tahun akan datang.
 Permintaan ini mewakili sejumlah 46% daripada keperluan global, yang dijangka akan menjangkau sehingga sejumlah 42,430 pesawat baru menjelang 2043.
Anand Stanley, Presiden Airbus Asia-Pasifik, membentangkan laporan ramalan ini semasa Perhimpunan Tahunan Presiden Penerbangan Asia-Pasifik (AAPA) di Brunei, yang memberi penekanan terhadap kesinambungan pertumbuhan serta kepentingan rantau ini kepada pasaran penerbangan global.
Ramalan Rantau Asia-Pasifik yang turut merangkumi China dan India, mempamerkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3% dari segi keperluan terhadap pesawat baru.
Dengan lonjakan permintaan ini, armada rantau ini akan terus berkembang, dipacu oleh kedua-dua pertumbuhan baru serta keperluan pergantian, dengan inisiatif kemampanan menjadi keutamaan yang lebih meluas.
Airbus meramalkan keperluan terhadap sejumlah 16,000 pesawat satu-lorong, seperti pesawat daripada Keluarga A220 dan A320neo, untuk menyokong penerbangan bagi laluan jarak pendek ke sederhana di rantau ini.

Airbus

Pada masa yang sama, permintaan bagi pesawat jarak jauh bersaiz sederhana dan besar, seperti A330neo dan A350, berjumlah lebih kurang 3,500 pesawat.
Tempahan besar yang terbaru bagi pesawat berbadan lebar di rantau ini turut merangkumi tempahan daripada Cathay Pasifik (A330neo), serta EVA Air, Japan Airlines dan Korean Air (A350), disokong pula oleh beberapa kempen berterusan yang dijangka akan terus memacu pertumbuhan.
Airbus menjangkakan bahawa hampir 71% daripada pesawat yang dihantar adalah untuk menyokong pertumbuhan armada, manakala 29% pula akan menggantikan model lama, yang mana ia akan memberikan sumbangan ketara terhadap usaha penyahkarbonan.
Generasi baru pesawat berbadan lebar Airbus menawarkan sebanyak 25% peningkatan kecekapan bahan api dengan serta merta dan pengurangan yang sepadan dalam tahap pelepasan karbon. Kemajuan yang dicapai ini mencerminkan komitmen Airbus untuk menyokong pencapaian matlamat industri penerbangan untuk meminimumkan jejak karbon pada alam sekitar.
Dalam segmen kargo pula, rantau Asia-Pasifik dijangka akan memerlukan sejumlah 250 buah pesawat pengangkut berbadan lebar, yang mewakili sebanyak 10% daripada permintaan global untuk pesawat pengangkut baru.
 A350F pula, berdasarkan kepada platform A350 yang telah terbukti, bersedia untuk memenuhi permintaan ini melalui penawaran pesawat yang memiliki tahap kecekapan unggul, kadar pelepasan CO2 yang rendah, dan ruang ekonomi yang terbaik dalam kelasnya.
A350F juga turut mematuhi standard piawaian pelepasan karbon ICAO yang terkini, meletakkan ia sebagai peneraju dalam pasaran pesawat pengangkut berbadan lebar.
Pengiktirafan terhadap keistimewaan model pesawat ini dari rantau ini datangnya daripada STARLUX Airlines yang telah menempah sejumlah lima buah pesawat A350F pada awal tahun ini.
Dari segi aliran trafik penumpang, rantau Asia-Pasifik diramalkan akan menyaksikan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.8%, mengatasi kadar pertumbuhan global sebanyak 3.6%.
Pesawat berbadan lebar merupakan kunci utama kepada pertumbuhan ini, bukan sahaja ia mampu meningkatkan jalinan hubungan penumpang malah ia turut mampu memenuhi keperluan pengangkutan kargo yang semakin meningkat di rantau ini.
 E-dagang dan dagangan global menjadi pemacu yang mendorong terhadap keperluan pengangkutan kargo yang cekap, menjadikan pesawat berbadan lebar sebagai keutamaan penting sebagai sumber pengangkutan yang cekap dan terjamin merentasi seluruh benua.

Airbus

A350 telah meletakkan dirinya sebagai peneraju bagi pesawat perjalanan jarak jauh, dengan hampir sejumlah 300 buah pesawat A350s yang sedang berkhidmat di rantau Asia-Pasifik dan sejumlah 230 buah pesawat lagi dalam tempahan.
Teknologi pesawat ini yang canggih, kecekapan pengunaan bahan api serta keunggulan ekonomi menjadikan ia sebagai pilihan utama syarikat penerbangan dari seluruh rantau.
Pada masa yang sama, kitaran penggantian bagi pesawat A330ceo kini sedang berlangsung, dengan sejumlah 540 buah pesawat A330ceo kini sedang beroperasi di rantau ini. A330neo kini diletakkan sebagai pengganti yang optimum, menawarkan peralihan yang lancar bagi syarikat penerbangan, melalui persamaan dalam latihan juruterbang dan operasi teknikal antara kedua-dua model.
“Sebagai salah satu pasaran penerbangan yang paling pesat berkembang di seluruh dunia, rantau Asia-Pasifik kini bersiap sedia untuk menyaksikan kadar pertumbuhan yang signifikan menjelang tempoh dua dekad akan datang.
Dengan tahap permintaan yang semakin meningkat bagi kedua-dua operasi penumpang dan kargo, kami berada pada kedudukan yang terbaik untuk membantu rakan syarikat penerbangan mencapai matlamat jangka panjang mereka dengan penawaran pesawat sedia ada yang paling cekap, mampan dan paling canggih, disamping menyumbang kepada usaha penyahkarbonan merentasi seluruh industri,” ujar Anand Stanley, Presiden, Airbus Asia-Pasifik. — DSA
Comments
Loading...