Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Nafi Dakwaan Viral di Media Sosial Berkenaan Pesawat Pejuang F-5

Kenyataan media oleh TUDM malam ini adalah sebagai menjawap posting, gambar dan video di dalam platform media-media sosial tempatan tertentu yang tular tentang apa yang didakwa oleh mereka sebagai pesawat F-5 milik negara di salah sebuah pelabuhan negara.

0 1,883
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengeluarkan satu kenyataan media pada malam ini menyatakan bahawa semua pesawat miliknya berada di dalam pegangannya.
Ia berkata bahawa kesemua pesawat milik TUDM diuruskan secara sistematik, selamat dan bersesuaian dengan pengoperasiannya.
Kenyataan media oleh TUDM malam ini adalah sebagai menjawap posting, gambar dan video di dalam platform media-media sosial tempatan tertentu yang tular tentang apa yang didakwa oleh mereka sebagai pesawat F-5 milik negara di salah sebuah pelabuhan negara.
“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ingin membuat kenyataan seperti berikut:
Susulan video dan gambar beberapa rangka pesawat (yang dikatakan jenis F-5E buatan Amerika Syarikat) yang tular di media sosial (“Facebook, “Tik Tok” dan platform “X”), TUDM ingin menegaskan bahawa pesawat-pesawat tersebut bukan milik TUDM.
F-5
Foto yang viral dalam media sosial tetapi dinafikan oleh TUDM.
Pihak TUDM juga ingin menjelaskan bahawa semua pesawat milik TUDM berada dalam pegangan TUDM dan diuruskan secara sistematik, selamat dan bersesuaian dengan pengoperasian TUDM,” menurut kenyataan itu.
Pihak TUDM menurut kenyataan itu menyeru supaya tidak dilanjutkan sebarang andaian yang boleh menimbulkan spekulasi atau persepsi yang tidak benar berhubung perkara ini.
TUDM pernah mengoperasikan pesawat pejuang F-5E pada tahun-tahun 1970-an sebelum menamatkan perkhidmatannya dan digantikan dengan pesawat pejuang lain.
Pesawat F-5 yang dibangunkan oleh Northrop Corporation itu merupakan pesawat pejuang supersonik pertama yang berkhidmat dengan TUDM.

TUDM

Pada suatu ketika TUDM dilaporkan memiliki sehingga 16 buah pesawat pejuang F-5. Selain, TUDM, pesawat F-5 turut dioperasikan oleh beberapa buah negara Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand dan Vietnam Selatan (sebelum Perang Vietnam).
Di rantau Asia Tenggara, hanya Thailand masih mengekalkan operasi pesawat pejuang F-5 tetapi telah dinaiktaraf.   — DSA

Comments
Loading...