(DEFENCE SECURITY ASIA) — Video menunjukkan pelancaran peluru berpandu taktikal “Tochka-U” oleh tentera Armenia terhadap kedudukan tentera dan bandar utama Azerbaijan beberapa hari lepas mula tersebar hari ini.
Peluru berpandu terbabit buatan Russia yang dipanggil “Scarab-B” oleh pihak NATO dan dilancarkan oleh tentera Armenia itu mempunyai jarak di antara 70km hingga 180km.
Di dalam video pendek yang dirakam menggunakan telefon bimbit itu menunjukkan tentera-tentera Armenia bersorak kegembiraan sejurus selepas peluru berpandu itu dilancarkan daripada kenderaan pengangkutnya.
Lokasi pelancaran tidak dapat dipastikan walaupun terdapat dakwaan ia telah dilancarkan daripada dalam kawasan Armenia.
Rakaman video menunjukkan pelancaran peluru berpandu taktikal “Tochka-U” oleh tentera Armenia terhadap kedudukan dan bandar Azerbaijan.. (kredit Defensionem-The War Bible)
Sebelum ini Kementerian Pertahanan Azerbaijan mendakwa Armenia telah melancarkan beberapa peluru berpandu taktikal “Tochka-U” terhadap bandar kedua terbesarnya iaitu Ganja, yang juga menempatkan pengkalan tentera udaranya.
Ia juga mendakwa tiga daripada peluru berpandu yang dilancarkan oleh Armenia itu gagal meletup.
Kementerian Pertahanan Armenia telah menafikan dakwaan penggunaan peluru berpandu “Tochka-U” terhadap Azerbaijan.

Bagaimanapun penyebaran video pelancaran “Tochka-U” oleh tentera Armenia itu membuktikan dakwaan oleh Azerbaijan itu mempunyai asasnya.
Beberapa hari lepas, bandar kedua terbesar di Azerbaijan itu dihujan dengan serangan artilleri, roket dan peluru berpandu taktikal milik Armenia.
Comments are closed.