Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Selatan Dedah Dron Halimunannya, Untuk Misi “Keluar Masuk” Korea Utara

Apa yang dapat diperhatikan adalah rekabentuknya adalah hampir sama dengan X-47B, sejenis Unmanned Combat Air Vehicle (UCAV) yang dibangunkan oleh syarikat Northrop Grumann untuk operasi di atas kapal-kapal pengangkut pesawat.

0 2,337

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada perarakan tentera besar-besar di bandaraya Korea Selatan, Seoul pada minggu lepas, tentera Korea Selatan telah menunjukkan dron halimunan misteri kepada masyarakat awam negara itu buat pertama kali.

Dron halimunan itu boleh memberikan Korea Selatan kemampuan untuk melakukan misi-misi ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaisance) di dalam ruang udara Korea Utara tanpa dapat dikesan oleh musuhnya itu.

Sudah pasti, misi utamanya adalah untuk keluar-masuk Korea Utara tanpa dapat dikesan oleh sistem pertahanan udara Pyongyang.

Selain misi-misi ISR, dron halimunan itu juga berkemungkinan juga mampu untuk melaksanakan misi-misi serangan menggunakan pelurunya tersendiri atau serangan elektronik.

Pada perarakan tentera besar-besaran di Seoul minggu lepas itu, pihak tentera Korea Selatan telah “menayangkan” lima buah dron halimunan itu yang dibawa di atas kenderaan 4×4 KIA Light Tactical Vehicle (KLTV).

Korea Selatan

Walaupun tiada kenyataan rasmi daripada tentera Korea Selatan tentang dron halimunan yang ditayangkan pada perarakan itu atau namanya, namun ia dipercayai dipanggil “Kaori-X” yang dibangunkan oleh Aeropace Division milik Korea Air dan telah melakukan penerbangan sulungnya pada tahun 2015.

Tidak banyak yang diketahui tentang prestasi dron halimunan Korea Selatan itu.

Namun apa yang dapat diperhatikan adalah rekabentuk Kaori-X itu adalah hampir sama dengan X-47B, sejenis Unmanned Combat Air Vehicle (UCAV) yang dibangunkan oleh syarikat Northrop Grumann untuk operasi di atas kapal-kapal pengangkut pesawat.

Menurut seorang penyelidik Korea Selatan, buat masa ini dron halimunan itu sememangnya untuk tujuan ISR tetapi tidak menolak kemungkinan fungsinya akan ditambah pada masa depan untuk turut meliputi kemampuan melakukan serangan.

Walauapapun, Korea Utara sedang mempertingkatkan kemampuan aset-aset dron miliknya.Korea Selatan

Pada 1 September yang lalu, ia telah mewujudkan Pusat Pemerintahan Dron Angkatan Tenteranya yang akan menyelaraskan segala aktiviti aset-aset dronnya sama ada untuk melaksanakan misi bertahan atau serangan sewaktu masa aman atau konflik.

Ia juga bertanggungjawab melaksanakan misi-misi ISR dan serangan elektromagnetik serta psikologi diperingkat taktikal atau operasi.

Selain mempertingkatkan kemampuan aset-aset pesawat tanpa pemandunya, Korea Selatan sedang mempertingkatkan pertahanannya bagi menangani pesawat-pesawat tanpa pemandu milik Korea Utara yang semakin berkembang.

Pada Julai lepas, Korea Utara menerusi media rasminya telah mendedahkan buat pertama kalinya dua buah dron miliknya yang rekabentuknya adalah hampir sama dengan dron-dron  “Global Hawk” dan MQ-9 “Reaper” yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat.

Tidak pasti sejak bila Korea Utara membangunkan kedua-dua dron itu tetapi dua tahun lepas pemimpin utamanya, Kim Jong Un mengerahkan tentera negara itu untuk membangunkan “dron penyerang” dan “dron pemantau” yang berkemampuan beroperasi sejauh 500km.

X-47B
UCAV “X-47B” yang dibangunkan oleh syarikat Northrop Grumann.
Dron
Dron ciplak “Global Hawk” milik Korea Utara sedang melakukan penerbangan ujian.

Kedua-dua dron Korea Utara itu dipertontonkan kepada orang-orang kenamaan termasuk Menteri Pertahanan Russia Sergei Shoigu pada pameran senjata dan pertahanan yang diadakan di ibu negara Pyongyang.

Maklumat daripada dalam Korea Utara mengatakan bahawa dron-dron yang memiliki no siri tentera negara itu telah pun menjalani ujian penerbangannya.

Sebuah dron yang menyerupai dron MQ-9 Reaper buatan Amerika Syarikat turut dilengkapi peluru berpandu yang tidak diketahui jenisnya tetapi rekabentuknya menyamai peluru berpandu “Hellfire” buatan Amerika dan kerap digunakan oleh dron terbabit.

Yang Uk, yang merupakan penganalisis ketenteraan di Asan Institute, Seoul dipetik oleh NK News berkata, dron tiruan Korea Utara itu berkemampuan membawa enam buah peluru berpandu seakan-akan “Hellfire” itu. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...