Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Taktikal Nuklear Korea Utara, Buka “Lembaran Baru” Tentera Lautnya

Pelancaran Kapal Selam 841 yang dinamakan “Hero Kim Kun Ok” itu disaksikan sendiri oleh pemimpin utamanya, Kim Jong Un, menunjukkan betapa pentingnya kapal selam taktikal nuklear itu kepada keseluruhan kekuatan ketenteraan negara Komunis itu pada ketika ketegangan di Semenanjung Korea memuncak.

0 3,444

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam apa yang dianggap sebagai “membuka lembaran baru” untuk Tentera Laut Korea Utara, negara itu telah melancarkan kapal selam taktikal nuklearnya yang pertama untuk berdepan dengan tentera laut Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Pelancaran Kapal Selam 841 yang dinamakan “Hero Kim Kun Ok” itu disaksikan sendiri oleh pemimpin utamanya, Kim Jong Un, menunjukkan betapa pentingnya kapal selam taktikal nuklear itu kepada keseluruhan kekuatan ketenteraan negara Komunis itu pada ketika ketegangan di Semenanjung Korea memuncak.

Menurut agensi berita Korea Utara, KCNA, kapal selam itu direka untuk melancarkan peluru berpandu taktikal nuklear daripada dasar laut, sekaligus membuka lembaran baru kepada tentera laut negara itu.

Korea Utara
(KCNA)
Korea Utara
Peluru berpandu “Pukgoksong-3”

 

Ia tidak menyatakan dengan jelas berapa buah peluru berpandu kapal selam mampu bawa dan lancar tetapi pakar-pakar pertahanan yang melihat dengan lebih dekat foto-foto kapal selam itu mendakwa ia berkemampuan sejumlah 10 buah peluru berpandu ballistik “Pukgoksong-3 (KN-26)” ketika berada di dasar laut.

Peluru berpandu ballstik nuklear Pukgoksong-3 itu telah didedahkan kepada awam pada 2017 dan menjalani ujian pelancarannya yang pertama pada 2019.

Peluru berpandu ballistik itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 2,000km.

Pakar-pakar pertahanan juga menyatakan bahawa kapal selam “Hero Kim Kun Ok” itu akan beroperasi di perairan di antara Semenanjung Korea dan Jepun untuk melaksanakan misi kombatnya sebagai salah satu ciri kekuatan Tentera Laut Korea Utara,

Mereka juga berkata bahawa Korea Utara bercadang menjadikan kapal-kapal selam sedia adanya kepada kapal selam taktikal nuklear yang berkemampuan untuk melancarkan peluru-peluru berpandu balistik nuklear.

Korea Utara
(KCNA)

 

Dalam ucapannya pada pelancaran kapal selam taktikal nuklearnya, Kim Jong Un berkata, “Disebabkan sikap agresif musuh-musuh serta tindakan ketenteraan mereka, maka usaha-usaha pembangunan Tentera Laut Korea Utara mesti dilakukan dengan segera dan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi.”

Sebagaimana dipetik berkata oleh KCNA, beliau juga berkata, Tentera Laut Korea Utara perlu dilengkapkan dengan senjata-senjata nuklear.

Korea Utara dikatakan memiliki armada kapal selam yang besar tetapi hanya sebuah kapal selam “8.24 Yongung” yang diketahui telah melancarkan peluru berpandu.

Pada 2016, pakar-pakar pertahanan antarabangsa dimaklumkan bahawa Korea Utara sedang membina sebuah kapal selam baru yang berkemampuan melancarkan peluru berpandu lancaran kapal selam (Submarine-Launched Ballistic Missile – SLBM). — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...