Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Gen-5 Iran “Qaher-313”. Realiti Atau Sekadar Mimpi?

Kerajaan Iran mendabik dada bahawa pesawat pejuang generasi kelima dinamakan “Qaher 313” buatan Iran Aviation Industries Organisation (IAIO) adalah lebih hebat daripada pesawat-pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat iaitu F-22 "Raptor" dan F-35 "Lightning."

0 4,491

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Sembilan tahun lalu, Iran telah memperkenalkan kepada dunia pesawat pejuang “generasi kelima” yang dinamakan Qaher-313 (Conquerer atau Penakluk) dalam satu majlis gilang-gemilang dihadapan presidennya pada ketika itu,  Mahmoud Ahmadinejad.

Pentadbiran Iran pada ketika itu mendabik dada bahawa pesawat pejuang generasi kelima buatan industri pertahanannya, Iran Aviation Industries Organisation (IAIO) itu adalah lebih hebat daripada pesawat-pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat iaitu F-22 “Raptor” dan F-35 “Lightning.”

Pendedahan “pesawat pejuang generasi kelima” milik Iran itu telah disambut dengan perasaan was-was dan skeptikal oleh penganalisis ketenteraan antarabangsa dan pakar-pakar penerbangan, yang tidak mempercayaai dakwaan bahawa Teheran telah berjaya membangunkan pesawat pejuang generasi kelima.

Mereka berpendapat bahawa pesawat pejuang gen-5,  “Qaher-313” itu hanyalah suatu mock-up untuk menunjukkan kepada rakyat Iran bahawa ia turut memiliki keupayaan untuk bersaing dengan Amerika Syarikat dan Barat daripada segi teknologi ketenteraan untuk membangunkan pesawat pejuang generasi kelima.

Kerajaan Iran pada ketika itu menjadikan Qaher-313 sebagai suatu alat politik untuk menunjukkan kepada rakyatnya bahawa teknologi ketenteraan miliknya adalah setaraf daripada segi kemajuan dan kecanggihan dengan apa yang dimiliki oleh Barat.

Qaher-313

Pakar-pakar ketenteraan Barat menyifatkan pesawat pejuang gen-5 Iran itu tidak ubah seperti peralatanan prop untuk industri perfileman Hollywood dan tidak mencapai tahap untuk menjadi pesawat pejuang genarasi masa kini.

Malah untuk memanggil Qaher-313 pesawat pejuang generasi keempat juga menurut mereka, adalah sesuatu yang tidak sesuai.

Rekabentuk pesawat itu serta saiznya menurut mereka memiliki terlalu banyak kesalahan daripada segi kejuruteraan avionik menyebabkan mereka percaya bahawa Qaher-313 itu tidak lebih adalah alat propaganda pihak pentadbiran dan ketenteraan Iran pada ketika itu.

Qaher-313

Malah pakar-pakar ketenteraan Barat juga mempersoalkan keadaan kokpit pesawat pejuang gen-5 Iran itu yang menurut mereka yang bukan sahaja tidak menunjukkan ciri-ciri gen-5 tetapi juga adalah “terlalu asas” dan lebih sesuai untuk pesawat persendirian yang kecil.

Qaher-313 juga dibina dengan bahagian nose section yang terlalu kecil sehinggakan tidak ada radar yang boleh dimuatkan di dalamnya, manakala bahagian air intakes juga disifatkan terlalu kecil untuk pesawat pejuang gen-5 atau apa-apa pesawat pejuang.

Menurut pakar-pakar penerbangan yang pesisimis, bahagian air intakes yang terlalu kecil itu lebih sesuai untuk dron dan bukan untuk pesawat pejuang.

Qaher-313
Kokpit pesawat Qaher-313

 

Digembar-gembur oleh Iran sebagai pesawat pejuang paling modennya, Qaher -313 juga tidak memiliki sebarang weapon bays untuk menyimpan bom dan peluru berpandu disebabkan saiznya yang terlalu kecil.

Menurut laporan media sebelum ini, Iran cuba menyakinkan komuniti penerbangan mengenai kemampuan pesawat pejuang Qaher-313 dengan menyiarkan video menunjukkan pesawat itu terbang laju di ruang udara tetapi ada juga pendapat mengatakan bahawa video itu adalah hasil rekaan grafik.

Apapun, sembilan tahun sudah berlalu sejak diperkenalkan, masyarakat ketenteraan dunia masih tertanya-tanya tentang kemajuan yang telah dicapai oleh Qaher-313 sehingga kini kerana pihak Iran seolah-olah berdiam diri tentang kemajuannya.

Episod tentang pesawat pejuang gen-5 Qaher-313 itu adalah sama seperti apabila Iran mengumumkan tentang pesawat pejuang “Kowsar” dan mendakwa bahawa ia pesawat pejuang itu memiliki avionik moden dan radar serbaguna serta 100 peratus buatan tempatan.

Namun apa yang didakwa oleh Iran itu telah ditangkis oleh pakar penerbangan yang mengatakan bahawa pesawat pejuang “Kowsar” itu hanyalah pesawat pejuang F-5E Tiger, yang dibina oleh Amerika Syarikat pada 1959. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...