Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Bayar Balik Wang RM5.4 Bilion Milik Kami,” Kata Turki Pada Amerika

Dua tahun sudah berlalu selepas Turki dikeluarkan daripada program F-35 itu, namun Amerika Syarikat sehingga kini masih belum menunjukkan sebarang tanda bahawa ia bersedia untuk membayar-balik wang berjumlah US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) yang dituntut oleh Ankara.

0 9,332

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagai rakan pembangunan, Turki telah membayar sebanyak US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) kepada Amerika Syarikat bagi pembabitannya di dalam program pembinaan pesawat pejuang generasi kelima F-35 sebelum Ankara “ditendang keluar” daripada program itu pada 2021.

Turki ditendang keluar daripada program F-35 itu selepas ia dikenakan sekatan ekonomi di bawah CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA))  apabila ia meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

CAATSA adalah undang-undang persekutuan Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan terhadap musuh-musuh negara itu seperti Iran,Korea Utara dan Russia.

Walaupun sudah lebih dua tahun ditendang keluar daripada program pembinaan pesawat F-35, namun usaha Turki untuk mendapatkan balik wang berjumlah US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) yang telah dibayarnya ke Amerika Syarikat itu masih gagal.

Kepimpinan tertinggi Turki daripada Presiden Recep Tayyep Erdogan dan menteri-menterinya sehingga ke pegawai kanannya telah berulang-kali menyatakan bahawa mereka akan terus berusaha mendapatkan kembali wang telah dibayar kepada Amerika Syarikat itu.

F-35

Semalam, Menteri Luar Turki Mehmet Cavusoglo dalam sidang media bersama rakan sejawatannya daripada Amerika Syarikat Anthony Blinken telah menyatakan sekali lagi bahawa negara itu mahu Washington memulangkan kembali wang miliknya itu.

“Kami (Turki dan Amerika Syarikat) adalah rakan di dalam program F-35, bagaimanapun Turki telah dikecualikan (daripada program pesawat pejuang itu) berikutan sekatan daripada CAATSA. Ia adalah tindakan unilateral (oleh Washington).”

“Sejumlah US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) telah dibayar oleh kami (terhadap pembabitan dalam program itu). Kami masih menunggu pembayaran balik wang itu (oleh Amerika Syarikat),” kata beliau.

Dua tahun sudah berlalu selepas Turki dikeluarkan daripada program F-35 itu, namun Amerika Syarikat sehingga kini masih belum menunjukkan sebarang tanda bahawa ia bersedia untuk membayar-balik wang berjumlah US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) yang dituntut oleh Ankara.

Bukan sahaja Washington enggan memulangkan balik wang milik Turki itu, malah ia turut meminta supaya Ankara membayar kos penyewaan hangar bagi menempatkan enam buah pesawat F-35 milik negara Mediterranean yang telah siap dibina, tetapi enggan diserahkan oleh Amerika Syarikat.

 Media-media negara Mediterranean menganggap tuntutan “bayaran sewa” oleh Amerika Syarikat kerana menyimpan pesawat F-35 milik Turki di dalam hangar di negara “Uncle Sam” itu sebagai sesuatu yang amat pelik dan “kelakar”.

Amerika bertindak secara unilateral mengeluarkan Turki daripada program F-35 dan kini enam buah pesawat itu tidak dapat diserahkan kepada pemiliknya iaitu Ankara selepas negara Mediterranean itu dikenakan sekatan  oleh Washington.

Namun ia mahukan Turki membayar kos penyimpanan enam buah pesawat F-35 milik Turki itu.

Apa yang lebih pelik bagi media dan rakyat Turki adalah, seterunya iaitu Greek juga memiliki sistem pertahanan udara buatan Russia iaitu S-300 tetapi pada masa yang sama telah ditawarkan supaya membeli pesawat F-35 oleh Amerika Syarikat.

India juga telah memperolehi sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia itu, tetapi telah menerima perlepasan (waiver) daripada Amerika Syarikat untuk mengelaknya daripada dikenakan sebarang sekatan dibawah CAATSA.

F-35

Bukan sahaja memberikan India perlepasan daripada dikenakan sebarang sekatan, malah Amerika Syarikat kini sedang memperhebatkan promosi pesawat pejuang F-35 itu kepada New Delhi.

Sebagai rakan pembangunan bagi program pesawat F-35 itu dan negara anggota penting NATO, Ankara sepatutnya memperolehi 100 buah pesawat pejuang generasi kelima yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

Beberapa syarikat pertahanan Turki turut terlibat dalam pembinaan sub-sistem penting pesawat pejuang itu, dengan kemudahan pembinaan pesawat itu turut dirancang dibina di negara Mediterranean itu. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...