Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Benarkah Amerika Telah Tamatkan Khidmat Pesawat F-117 “Nighthawk”?

Persoalan sama ada Tentera Udara Amerika benar-benar telah menamatkan khidmat pesawat halimunannya yang pertama itu pada 2008 sedang hangat diperdebatkan ketika semakin banyak laporan diterima tentang "kehadiran" pesawat F-117 Nighthawk di ruang udara negara itu.

0 2,595

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Mac 2008 bertempat di Pangkalan Tentera Wright-Patterson, Tentera Udara Amerika Syarikat secara rasminya telah menamatkan khidmat pesawat pejuang halimunannya yang pertama iaitu F-117 Nighthawk.

Pesawat F-117 Nighthawk itu juga adalah pesawat halimunan operasional yang pertama dunia.

Pesawat Nighthawk yang menggunakan dua enjin turbofan F404-GE-F1D2 daripada General Electric itu telah dibangunkan oleh firma pertahanan, Lockheed Martin dan memiliki beberapa nama gelaran termasuk  “Frisbee” dan “Woblin Goblin” serta “Black Jet.”

Nighthawk

Pihak Amerika Syarikat dikatakan membelanjakan sejumlah US$6.6 bilion (RM26.4 bilion) untuk program pembangunan pesawat F-117 yang bermula pada 1979 dengan pesawat halimunan itu berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada 1981.

Menurut Tentera Udara Amerika Syarikat, harga per-unit pesawat halimunan itu adalah hanya US$42.6 juta (RM170.4 juta).

Bagaimanapun Tentera Udara Amerika Syarikat hanya mengumumkan secara rasmi kepada seluruh dunia tentang kewujudan F-117 Nighthawk itu pada 1988 selepas bertahun-tahun ia merahsiakan tentang pesawat rahsia itu.

Secara keseluruhannya, firma Lockheed Martin telah menyerahkan sejumlah 59 buah pesawat F-117 kepada Tentera Udara Amerika Syarikat dengan pesawat pertama diterima pada 1982 manakala yang terakhir diterimanya adalah pada 1990.

Daripada 59 buah pesawat F-117 Nighthawk diterima Tentera Udara Amerika, ia hanya kehilangan sebuah pesawat halimunan itu dalam operasi kombat iaitu di Serbia apabila ia ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara Yugoslavia ketika terlibat dalam misi di negara itu pada tahun 1999.

Nighthawk
Pesawat F-117 Nighthawk ketika ia mula dibangunkan.

 

Ok, misi utama pesawat F-117 Nighthawk adalah “menembusi” kawasan operasi yang dikawal dengan ketat oleh sistem pertahanan udara dan memusnahkan sasaran-sasaran berkepentingan tinggi (high value target) dengan ketepatan amat tinggi.

Sepanjang hayatnya, pesawat pejuang halimunan pertama Amerika Syarikat dan dunia telah terlibat dalam pelbagai konflik termasuk di negara Amerika Tengah iaitu Panama, Operasi Desert Storm, Kosovo dan Perang Teluk Kedua.

Pesawat-pesawat Nighthawk ini hanya digunakan untuk misi-misi pada waktu malam.

Dan 26 tahun selepas pesawat Nighthawk yang pertama diterima oleh Tentera Udara Amerika  pada 1982,  pesawat halimunan operasional yang pertama Amerika Syarikat dan dunia itu telah dibersarakan oleh tentera negara itu pada 2008.

Jangka hayat 26 tahun itu adalah suatu “usia yang amat muda” bagi pesawat pejuang.

Nighthawk

Tetapi benarkah Tentera Udara Amerika Syarikat telah menamatkan khidmat pesawat pejuang halimunannya itu pada 2008 kerana selepas tarikh “persaraannya” itu banyak laporan mendakwa pesawat-pesawat itu masih terbang sehingga kini seolah-olah ia masih dalam tugas-tugas aktif.

Untuk apa pesawat F-117 Nighthawk itu terus terbang sehingga kini, beberapa tahun selepas Tentera Udara Amerika Syarikat mengumumkan kepada seluruh dunia bahawa ia telah menamatkan khidmat pesawat itu.

Hanya dua tahun selepas “persaraan” pesawat halimunan F-117 Nighthawk itu, terdapat laporan mengenai “kehadiran” pesawat itu di ruang udara Nevada Test and Training Range (NTTR) yang terletak di Nellis Air Force Base Complex di Nevada.

Pada 2014, Tentera Udara Amerika Syarikat mengesahkan bahawa bahawa pesawat-pesawat halimunan F-117 itu masih diselenggara di hangar-hangar asalnya di Lapangan Terbang Tonopah, 150 batu daripada Las Vegas yang juga digelar sebagai “rumah” kepada pesawat itu serta krew-krewnya.

Menurut tentera udara, untuk memastikan usaha penyelenggaran pesawat itu berjalan dengan lancar dan pesawat itu masih di dalam keadaan boleh terbang, maka, beberapa penerbangan telah dilakukan.

Nighthawk

Namun,nampaknya pesawat-pesawat F-117 yang kononnya telah “bersara” itu bukan hanya terbang untuk tujuan penyelenggaran tetapi terdapat juga laporan bahawa ia masih juga dikerah untuk tugas-tugas aktif di kawasan konflik dunia.

Laporan juga mendakwa sebanyak empat buah pesawat halimunan itu telah dikerah ke Syria pada 2017 untuk melaksanakan misi pengeboman di bawah “Operation Inherent Resolve”menggunakan Small Diameter Bomb (SDB).

Setiap tahun sejak ia “bersara” pada 2008, laporan demi laporan diterima mendakwa kehadiran pesawat-pesawat F-117 Nighthawk di beberapa lokasi di Amerika Syarikat, menimbulkan persoalan sama ada pesawat itu benar-benar telah ditamatkan perkhidmatannya.

Nighthawk

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Akhirnya tahun lepas, Tentera Udara Amerika Syarikat mengakui bahawa walaupun pesawat F-114 Nighthawk itu secara rasminya telah ditamatkan perkhidmatan tetapi banyak daripada pesawat halimunan itu masih boleh terbang untuk tujuan “latihan dan kajian.”

Walaupun Tentera Udara Amerika Syarikat masih berdolak-dalik tentang tujuan ia masih mengekalkan operasi pesawat F-117 Nighthawk walaupun telah mengumumkan kepada seluruh dunia pada 2008 bahawa ia telah menamatkan khidmat pesawat itu secara rasmi, nyata pesawat itu masih berkemampuan melaksanakan pelbagai tugas kira-kira 40 tahun selepas ia menyertai Tentera Udara Amerika Syarikat. — DSA

 

Comments
Loading...