Korea Selatan Beri Percuma Sistem MLRS “Kooryong” Pada Filipina
Pemberian sistem roket berganda milik Korea Selatan itu kepada Filipina membuktikan hubungan pertahanan yang rapat di antara kedua-dua negara, dengan Manila merupakan antara pelanggan utama sistem pertahanan Korea Selatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan dikatakan akan memberikan secara percuma kepada Filipina 22 buah unit Sistem Pelancar Roket Berganda (Multiple Launch Rocket System – MLRS) jenis “K136 Kooryong” 130mm.
Kesemua sistem roket MLRS “Kooryong” itu akan digunakan oleh Tentera Darat Filipina dan Kor Marin negara itu.
Walaupun diberikan secara percuma, tetapi Filipina perlu mengeluarkan modal untuk membawa pulang sistem itu beserta roket-roketnya ke negara Asia Tenggara terbabit selain membina kemudahan penyimpanannya.

Selain itu Filipina juga perlu mengeluarkan kos untuk melatih anggota tenternya dalam mengendalikan sistem roket “Kooryong” itu serta sebarang kos untuk membaikpulih sistem itu.
Filipina dijangka menerima kesemua sistem roket itu pada June ini.
Sistem roket berganda K136 Kooryong mula digunakan oleh Tentera Korea Selatan pada tahun 1986, dengan setiap satu pelancar adalah terdiri daripada 36 tiub roket berkaliber 130mm.
Setiap roket dilengkapi dengan peledak High Explosive (HE) dan pre-fragmented HE yang mengandungi 16,000 bebola besi untuk kemusnahan maksimum terhadap kedudukan musuh sama ada kubu-kubu pertahanan atau anggota tentera itu sendiri.
Roket-roket daripada sistem “Kooryong” itu berkemampuan membedil sasaran musuh sejauh di antara 22km hingga 36km sekiranya ia menggunakan varian roket ER (Extended Range).
Di Korea Selatan, sistem roket berganda itu dibawa oleh kenderaan 6×6.
Pemberian sistem roket berganda milik Korea Selatan itu kepada Filipina membuktikan hubungan pertahanan yang rapat di antara kedua-dua negara.
Comments are closed.