Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia Lebih “Vokal” Bantah China, Indonesia “Berdiam Diri”

Dalam tahun ini sahaja, Malaysia telah mengemukakan dua bantahan diplomatik terhadap China selepas pesawat-pesawat tentera dan kapal-kapalnya melakukan pencerobohan terhadap ruang udara serta perairan Malaysia.

0 3,851

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah badan bukan kerajaan yang berpusat di Washington, Amerika Syarikat dikenali “Asia Maritime Transparency Initiative” (AMTI) berkata Malaysia kini lebih “vokal” dalam menyuarakan bantahannya terhadap pencerobohan kapal-kapal dan pesawat China, berbanding negara jirannya, Indonesia yang mengambil pendekatan mendiamkan diri.

Pengarah AMTI Greg Poling dalam satu temuramah dengan South China Morning Post melihat sikap lebih vokal Malaysia itu berlainan dengan Indonesia yang “berdiam diri” terhadap pencerobohan kapal-kapal China terutamanya di Laut Natuna beberapa bulan ini.

Sikap “berdiam diri” Jakarta terhadap pencerobohan oleh kapal-kapal China di Laut Natuna baru-baru ini adalah amat berlainan dengan sikapnya yang “garang” apabila berhadapan dengan percerobohan besar-besaran kapal China pada 2019-2020.

“Malaysia telah menjadi lebih vokal (terhadap pencerobohan China) di dalam dua tiga tahun ini, walaupun ia masih mengelak untuk bercakap tentang kebanyakan kes gangguan (kapal-kapal) China kerana ia tahu tidak banyak yang boleh dilakukannya.”

“Bagaimanapun, Indonesia nampaknya kurang vokal sejak beberapa bulan ini,” kata Poling berkenaan pencerobohan kapal penyelidik China, Hai Yang Di Zhi 10 terhadap lapangan minyak Blok Tuna di Laut Tuna yang berada didalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia.

Da yang hao
Kedudukan kapal penyelidik China “Da Yang Hao” dan kapal pengawal pantai China ketika ia menceroboh perairan ZEE Malaysia.

 

Kehadiran kapal penyelidik, Hai Yang Di Zhi 10 itu turut diiringi oleh kapal pengawal pantai China.

Poling berkata, di dalam tahun ini sahaja Malaysia telah memanggil duta besar China sebanyak dua kali untuk menyatakan bantahan diplomatik negara terhadap pencerobohan pesawat dan kapal-kapal negara itu di ruang udara serta kawasan perairan ZEE Malaysia.

Walaupun terdapat “perubahan” dalam sikap vokal Malaysia terhadap pencerobohan oleh China, tetapi beliau berkata, ia belum mencapai tahap vokal yang dipaparkan oleh Vietnam dan Filipina yang lagi “keras” dalam respons dan kritikan mereka terhadap perbuatan Beijing itu.

Bantahan diplomatik Malaysia yang pertama itu berlaku beberapa hari selepas 16 buah pesawat tentera China melakukan penerbangan mencurigakan terhadap Zon Maritim Malaysia (ZMM) dan melintasi ruang udara di Beting Patinggi Ali, di luar perairan Sarawak.

Bantahan diplomatik negara yang kedua berlaku beberapa minggu lepas tidak lama selepas kapal penyelidik China, Da Yang Hao diiringi kapal-kapal pengawal pantai negara itu menceroboh perairan ZEE negara di Sabah dan Sarawak.

Kapal-kapal “penceroboh” China itu turut “menganggu” operasi kapal-kapal offshore milik syarikat minyak dan gas Malaysia terutamanya di Lapangan Gas Kasawari milik PETRONAS.

Da Yang Hao
Kapal penyelidik, Da Yang Hao yang dilaporkan menceroboh perairan Malaysia.

 

Kapal penyelidik “Da Yang Hao” itu menghabiskan beberapa minggu di dalam perairan ZEE negara di Sabah dan Sarawak sambil diiringi kapal-kapal pengawal pantai China.

Tentera Laut Diraja Malaysia mengerahkan tiga buah kapal rondanya untuk memantau kapal-kapal China itu.

Sebagaimana, kapal “Hai Yang Di Zhi” akhirnya meninggalkan perairan ZEE Indonesia di Laut Natuna beberapa hari lepas, kapal “Da Yang Hao” turut sama meninggalkan perairan ZEE Malaysia.

Sementara itu, cubaan Menteri Koordinasi Maritim dan Pelaburan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan untuk “mensenyapkan” isu kehadiran kapal-kapal China di Laut Natuna dengan berkata bahawa negara itu menghormati kebebasan pelayaran di Laut Natuna telah dikecam oleh beberapa pihak.

Mereka berkata Indonesia berhadapan dengan risiko kehilangan hak-haknya jika ia tidak melakukan bantahan terhadap kehadiran kapal-kapal China di Laut Natuna dengan cepat.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

 

 

Comments
Loading...