Filipina Semakin Hampir Untuk Miliki Peluru Berpandu “BrahMos”
Bakal melonjakkan lagi kemampuan Filipina untuk mempertahankan pesisir pantainya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Filipina dan India menandatangani perjanjian yang menjadikan impian Manila untuk memiliki peluru berpandu “BrahMos” bagi memperkuatkan pertahanan pesisir pantai semakin menjadi realiti.
Peluru berpandu “BrahMos” yang mampu membedil sasaran sehingga 250km hingga 300km adalah hasil usahasama di antara India dan Russia.
Peluru berpandu itu adalah berdasarkan kepada peluru berpandu P-800 Oniks keluaran syarikat pertahanan Russia.
Jika Manila benar-benar memperolehi peluru berpandu “BrahMos” itu buatan India itu, ia bakal melonjakkan lagi kemampuan pertahanan pesisir pantai negara itu terutamanya di perairan barat negara itu yang diancam oleh pencerobohan oleh kapal-kapal pengawal pantai China. Peluru berpandu “Brahmos” itu bakal dilancar oleh kenderaan-kenderaan bergerak. Filipina dipercayai telah pun menubuhkan rejimen yang bakal mengoperasikan peluru berpandu “BrahMos” itu.
Perjanjian di antara Manila dan New Delhi itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Rendah Pertahanan Filipina Raymund Elefante dan duta India Shambu Kumaran di Kem Aguinaldo yang merupakan ibu pejabat kepada Angkatan Tentera Filipina.
Setiausaha Pertahanan Filipina Delfin Lorezana yang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu berkata: “ Kita akan membeli peluru berpandu BrahMos.”
Ia adalah kenyataan paling jelas yang mengesahkan usaha Filipina mendapatkan peluru berpandu itu.
Peluru berpandu Brahmos merupakan peluru berpandu jarak sederhana yang boleh dilancarkan daripada kapal selam, kapal perang, darat dan pesawat pejuang. Ia dikatakan peluru berpandu supersonic terlaju di dunia.
Mengenai cara Filipina membiayai pembelian peluru berpandu “BrahMos” ini sekiranya ia benar-benar membelinya, akhbar India, Hindustan Times mengatakan India menawarkan hutang (kredit) sebanyak US$100 juta bagi membolehkan Manila memperolehi peluru berpandu itu.
Setakat ini kita tak tahu berapa banyak peluru berpandu “Brahmos” yang akan dimiliki oleh Filipina.
Comments are closed.