Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Bagaimana Amerika Tahu Pangkalannya Di Iraq Bakal Dihujani Peluru Berpandu Iran

0 415

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada Januari tahun lepas, Amerika Syarikat telah melancarkan serangan dron di Lapangan Terbang Baghdad yang membunuh Komander Kor Pengawal Revolusi Islam, Jeneral Qassem Soleimani.

Qassem Soleimani ini adalah orang paling penting dalam perancangan tentera Iran di Timur Tengah, kerana beliaulah yang merancang pembabitan tentera negara itu terutama anggota Pengawal Revolusi Iran di Syria, Lubnan, Iraq, Yemen dan kawasan-kawasan lain di rantau itu.

Dalam perkataan lain, beliau adalah “otak” disebalik perancangan tentera Iran di rantau Timur Tengah dan Amerika Syarikat sememangnya menjangkakan Teheran akan bertindak balas untuk membalas dendam atas kematian Qassem Soleiman.

Pada mulanya, Washington menjangkakan Iran akan hanya melancarkan serangan roket-roket yang memiliki 60 pound peledak ke pangkalanya di Iraq. Bagaimanapun jangkaan pihak perisikan Amerika Syarikat itu adalah salah apabila maklumat-maklumat perisikan mula diterima tentang persiapan serangan peluru berpandu ballistik yang bakal dilancarkan oleh Iran bagi membalas serangan dron yang membunuh panglima Pengawal Revolusi Iran disayangi mereka itu.

Al-Asad
Apabila peluru berpandu Iran menghentam pangkalan Al-Asad di Iraq.

Dalam satu dokumentari khas yang dilakukan oleh stesen televisyen CBS baru-baru ini, pihak pentadbiran Amerika Syarikat diberitahu oleh pihak perisikannya bahawa matlamat utama serangan peluru berpandu ballistik Iran adalah untuk “meratakan” pengkalan Al-Asad di Iraq.

Pangkalan Al-Asad merupakan kedudukan utama tentera Amerika di Iraq, dihuni oleh kira-kira 2,000 anggota tenteranya bersama-sama pelbagai aset ketenteraan yang lain seperti pesawat pejuang dan helikopter.

Pihak Amerika menjangkakan kira-kira di antara 100 hingga 150 anggota tenteranya akan terbunuh dalam serangan peluru berpandu Iran itu jika mereka tidak dipindahkan.

Bagaimana pihak perisikan Amerika Syarikat tahu bahawa serangan Iran akan berlaku tidak lama selepas kematian Qassem Soleimani?

Menerusi temuramah CBS itu, pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat memberitahu bahawa satelit-satelit pengintip negara itu mula mengesan pergerakan anggota tentera Iran dalam mengalih peluru-peluru balistiknya ke kawasan-kawasan pelancaran mereka.

Al-Asad
Kedudukan pangkalan tentera Al-Asad.

Keduanya, adalah apabila satelit-satelit Amerika mengesan tindakan pihak tentera yang mula melengkapkan peluru-peluru berpandu ballistic itu dengan bahan pembakar “solid fuel” untuk tujuan pelancarannya ke sasaran-sasaran di Iraq.

Ketiga, adalah apabila pihak tentera Iran mula membeli imej-imej satelit pangkalan tentera Al-Asad di Iraq daripada satelit-satelit komersial dan apabila mereka berhenti “download” imej satelit itu maka Pentagon tahu serangan bakal dilancarkan dalam beberapa jam.

Apabila Iran berhenti “download” imej-imej satelit pangkalan Al-Asad bermakna serangan bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Itulah yang diberitahu oleh pegawai-pegawai tentera Amerika di dalam temuramah itu.

Mengetahui serangan bakal dilancarkan terhadap pangkalan Al-Asad itu, pihak Amerika telah memindahkan kira-kira 1,000 anggota tenteranya ke kawasan padang pasir yang terletak agak jauh daripada pangkalan Al-Asad itu.

Al Asad
Rakaman daripada dron tentang impak letupan peluru berpandu Iran di pangkalan Al-Asad.

Kira-kira 1,000 yang lain dikehendaki terus tinggal di pangkalan itu tetapi berlindung di bunker-bunker yang dibina pada era Saddam Hussein.

Tetapi bunker-bunker itu pun tidak mampu melindungi mereka apabila dihentam oleh peluru-peluru berpandu ballistic yang setiap satunya membawa 1,000 pound bahan peledak.

Akhirnya, Iran melancarkan 16 butir peluru berpandu ballistic ke pangkalan Al-Asad tetapi hanya 11 daripadanya mengenai sasaran manakala yang lain tersasar ke bahagian lain.

Tiada kematian di pihak anggota tentera Amerika, kecuali kira-kira 100 di antara mereka yang mengalami “traumatic brain injury” akibat serangan peluru berpandu Iran itu.

Pihak Amerika Syarikat mengatakan serangan peluru berpandu ballistik Iran itu adalah “serangan peluru berpandu ballistik paling besar dihadapi oleh tentera Amerika dalam sejarah.”

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...