Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Militan Houthi Lancar Serangan Peluru Berpandu, Dron Bersenjata Terhadap Arab Saudi

0 351

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Malam tadi merupakan malam yang sibuk bagi tentera Arab Saudi yang berhadapan dengan serangan bertali-arus satu peluru berpandu ballistik dan enam buah dron yang dilengkapi dengan bahan letupan.

Kesemua peluru berpandu ballistik dan dron membawa bahan letupan dilancarkan oleh kumpulan militan Houthi Yemen yang disokong oleh Iran.

Sistem pertahanan udara “Patriot” tentera Arab Saudi berjaya menembak jatuh peluru berpandu ballistik yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi terhadap bandar Riyadh. (VIDEO)

Manakala bagi enam buah dron bersenjata yang dilancarkan oleh kumpulan militan yang menerima bantuan dan kepakaran daripada Kor Pengawal Revolusi Iran itu, kesemuanya disasarkan terhadap bandar-bandar yang terletak di selatan Arab Saudi. Keenam-enam dron bersenjata itu berjaya dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara Arab Saudi.

Houthi
Serpihan dron-dron bersenjata kumpulan Houthi yang berjaya ditembak jatuh oleh tentera Arab Saudi.

Serangan peluru berpandu ballistik oleh kumpulan Houthi terhadap bandar Riyadh berlaku ketika bandar itu sedang menganjurkan perlumbaan Formula E yang turut dihadiri oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman.

Menurut Kementerian Pertahanan Arab Saudi, serpihan peluru berpandu ballistic itu telah jatuh dikawasan penduduk menyebabkan kecederaan.

Selain serangan peluru berpandu ballistik kumpulan Houthi yang mensasarkan Riyadh, enam dron bersenjata kumpulan pro-Iran itu pula mensasarkan bandar-bandar Arab Saudi seperti Khamis Mushait, Jazan dan beberapa bandar lain di selatan negara itu.

Serangan peluru berpandu ballistik dan dron bersenjata oleh kumpulan Houthi malam tadi berlaku selepas serangan daring dron bersenjata pada 23 Jan lepas.

Pihak militan pro-Iran dikatakan melancar tiga buah dron yang dilengkapi dengan bahan letupan daripada dalam Iraq dan mereka mensasarkan Istana Yamamah milik keluarga diraja Arab Saudi di Riyadh.

Walaupun dron bersenjata itu berjaya mengenai sasaran mereka iaitu kompleks keluarga diraja Arab Saudi tetapi ia tidak mengakibatkan kecederaan dan kematian.

Menurut jurucakap tentera bersekutu Arab, Jeneral Turki al-Maliki, tentera Arab Saudi telah menembak jatuh sebanyak 526 dron bersenjata dan 346 peluru berpandu ballistik sejak konflik antara negara itu dengan kumpulan Houthi di Yemen bermula.

Menurut beliau, serangan peluru berpandu dan dron besenjata Houthi terhadap Arab Saudi itu adalah di atas arahan Iran.

Dron
Dron-dron milik tentera Iran.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...