Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ancaman Periuk Api Pada Perang Teluk Pertama, USS Tripoli dan USS Princeton Jadi “Mangsa”

0 803

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada pukul 4.36 pagi 18 Februari 1991 atau kira-kira 30 tahun yang lepas ketika Perang Teluk melanda rantau itu, sebuah kapal amphibious assault ship tentera laut Amerika Syarikat “USS Tripoli” telah terkena periuk api yang diletak oleh tentera Iraq di utara Teluk Parsi.

Letupan daripada periuk api dipercayai daripada jenis contact naval mine telah menyebabkan lubang besar pada kapal itu berukuran kira-kira 16 kaki X 25 kaki. Contact mine ini memerlukan sentuhan dengan kapal untuk membolehkan ia meletup.

USS Tripoli
BERLUBANG…Kerosakan pada USS Tripoli.

Letupan daripada sebutir periuk api Iraq itu telah menyebabkan kapal terbabit yang beratnya sahaja melebih 25,000 tan itu terhenti di tengah-tengah perairan Teluk Parsi itu dan beberapa kompartment kelasi kapal perang itu dinaiki air laut.

Buat beberapa jam USS Tripoli tidak dapat bergerak dan tersadai di atas perairan yang pada ketika itu dikelilingi dengan beberapa dozen periuk api yang diletak oleh tentera Iraq untuk mengelak pendaratan tentera Amerika di kawasan-kawasan pantai negara itu. Pada ketika itu, USS Tripoli bersama-sama kapal perang negara itu yang lain sedang dalam misi membersihkan kawasan perairan utara Teluk Parsi daripada periuk-periuk api.

USS Tripoli

Kira-kira 7 pagi beberapa jam selepas USS Tripoli lumpuh akibat terkena periuk api, kapal perang kelas Ticonderoga “USS Princeton” juga terkena dua butir periuk api “Manta” buatan Itali tidak jauh daripada lokasi Tripoli itu, menyebabkan tiga anak kapal cedera termasuk seorang yang serius.

Kerosakan yang dialami oleh USS Princeton lagi teruk dan ia tersadai 31 jam di perairan yang penuh dengan periuk api Iraq.

Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat, periuk api Iraq yang mengenai USS Tripoli itu diletakkan kira-kira satu meter di bawah permukaan perairan menyebabkan ia sukar untuk dilihat oleh anggota yang ditugaskan untuk mengesan periuk api.

Walaupun letupan daripada periuk api itu agak besar dan kerosakan pada kapal agak besar, tetapi ia tidak menyebabkan kematian pada anak-anak kapal USS Tripoli.

Selepas 30 hari menjalani pembaikan, USS Tripoli telah kembali ke tugas di Teluk Parsi, manakala bagi USS Princeton pula, ia belayar balik ke Amerika Syarikat selepas lapan minggu dibaiki di limbungan kapal di Bahrain.

Periuk api
Jenis-jenis periuk api yang digunakan oleh tentera Iraq pada ketika itu.

 

 

 

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...