Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Lapan Pesawat Pejuang Russia Lakukan “Simulasi Serangan” Terhadap USS Porter

0 589

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Beberapa hari selepas melakukan simulasi serangan terhadap kapal destroyer (DDG-75) USS Donald Cook di Laut Hitam, pesawat-pesawat pejuang Russia melakukan satu lagi siri simulasi serangan kali ini terhadap kapal  pemusnah (DDG-78) USS Porter di perairan yang sama.

Lapan buah pesawat pejuang terdiri daripada dua buah Su-30SM, dua buah Su-24M,  dua buah Su-34M dan dua buah Su-27 melakukan simulasi serangan terhadap kapal USS Porter yang baru sahaja tiba di Laut Hitam.

Russia
Grafik simulasi serangan lapan buah pesawat pejuang Russia terhadap kapal pemusnah Amerika Syarikat USS Porter di Laut Hitam semalam. (kredit Cyber Diver)

Kejadian dilaporkan berlaku semalam. Pada ketika ini terdapat tiga buah kapal perang Amerika Syarikat sedang beroperasi di Laut Hitam, terdiri daripada USS Donald Cook, USS Porter dan USNS Laramie (oiler replenishment)

Kelapan-lapan buah pesawat pejuang Russia itu berlepas daripada pengkalan-pengkalan udara di Simferopol yang terletak di Semenanjung Crimea dan Novosibbirsk. Simulasi serangan terhadap kapal pemusnah USS Porter kali ini lebih besar daripada segi skala serta kawasan geografinya berbanding simulasi serangan yang dilakukan terhadap USS Donald Cook beberapa hari lepas. Setakat ini, pihak tentera Amerika Syarikat mahupun Russia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang kedua-dua insiden “simulasi serangan itu.”

(Tahun lepas, dua buah pesawat Su-27 tentera udara Russia melakukan pemintasan terhadap sebuah pesawat pengebom B-52 di Laut Hitam)

Keadaan di Laut Hitam tegang sejak beberapa tahun lepas apabila tentera Russia menakluk (annexed) sebahagian Semenanjung Crimea daripada Ukraine, dalam tindakan yang dikecam oleh masyarakat antarabangsa.

Sejak dari itu Amerika Syarikat dan sekutunya di NATO telah menghantar kapal-kapal perang di Laut Hitam bagi mengimbangi penambahan kekuatan tentera Russia di Semenanjung Crimea.

Simulasi serangan terhadap USS Porter semalam itu merupakan simulasi serangan kedua selepas insiden yang sama menimpa USS Donald Cook beberapa hari lepas.

Beberapa hari lepas, tidak lama selepas tiba di Laut Hitam USS Donald Cook telah diganggu oleh dua buah pesawat Su-24M, dua buah pesawat Su-30M dan dua buah pesawat Su-27 yang dikatakan telah melakukan “simulasi serangan”  dipanggil sebagai “ detect and conditional destruction”.

Russia
Sebuah pesawat peronda maritim P-8 Poseidon melakukan penerbangan berhampiran USS Donald Cook di Laut Hitam.

Tetapi ini bukanlah insiden yang pertama yang menimpa USS Donald Cook dan USS Porter kerana kapal perang Amerika Syarikat pernah mengalami insiden yang sama ketika melakukan operasi di Laut Baltik, tidak jauh daripada pantai Russia pada 2016.

Ketika berada di Laut Baltik, kapal USS Donald Cook didatangi dua buah pesawat Su-24 yang melakukan penerbangan rendah dan merbahaya seperti sedang melakukan simulasi serangan berhampiran dengan kapal perang terbabit.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...