Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

ATM Tangkap 17 PATI Hasil Maklumat SWASLA

0 601

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Anggota tentera daripada Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) berjaya menangkap 17 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang memasuki negara ini secara haram di Pantai Teluk Pungai, Kota Tinggi di sektor OP BENTENG tengah malam tadi.

Tangkapan tersebut berjaya dilakukan hasil maklumat yang diperolehi melalui Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA).

atm
SWASLA

SWASLA berfungsi sebagai sistem rangkaian radar 24 jam digunakan bagi mengawasi semua jenis pergerakan bot atau kapal mencurigakan di perairan negara di sepanjang Selat Melaka.

Sistem pengawasan terbabit telah mengesan pergerakan sebuah bot yang mencurigakan dari arah Pulau Batam ke perairan Malaysia. Hasil maklumat tersebut, Tim Quick Reaction Force (QRF) dengan kerjasama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas serta tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) telah diatur gerak untuk mengepung kawasan sekitar Batu Layar, Teluk Punggai dan Tanjung Penyusup, Kota Tinggi, Johor.

atm
Gambar kredit Angkatan Tentera Malaysia.

Hasil serbuan dan penjejakan yang dilakukan telah membawa kepada penangkapan 17 orang PATI terdiri daripada 13 lelaki dan 4 wanita warga Indonesia berusia 24 hingga 48 tahun

Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 25,262.14 melibatkan wang tunai pelbagai jenis matawang, beberapa utas jam tangan, barangan kemas serta telefon bimbit.

Kesemua PATI ditahan telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

ATM terus komited menjaga keselamatan dan kedaulatan sempadan negara dari sebarang bentuk pencerobohan oleh PATI ataupun jenayah rentas sempadan lain serta akan terus menjejak saki baki PATI di sekitar kawasan berkenaan.

Sumber daripada: Sel Perhubungan Raya, Divisyen Ketiga Infantri Malaysia

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...