Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dua Anggota Polis Cedera Diserang Penduduk Kampung

0 957

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua anggota polis mengalami kecederaan dibeberapa bahagian tubuh mereka akibat diserang penduduk kampung ketika cuba meleraikan pergaduhan antara dua pihak di Simpang Tiga Ayer Pasir, Machap Baharu di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata kedua-dua anggota polis itu, Kpl G. Ramanan, 34, dan Kpl Lisrullah Ali, 33, dari Balai Polis Machap Baharu turut dilempar kata-kata kesat dalam kejadian pada 8.10 malam.

polis

Kedua-dua anggota polis katanya, telah ke lokasi kejadian sebaik menerima aduan orang awam dan memperkenalkan diri.

“Ketika sedang meleraikan pergaduhan itu, sekumpulan penduduk kampung telah menyerang serta menampar anggota berkenaan selain menghalang mereka menjalankan tugas. Kumpulan tersebut juga telah memulakan provokasi dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kedua-dua anggota berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

polis

Kpl Ramanan telah ditumbuk pada bahagian muka sehingga terjatuh, sebelum ditendang berulang-kali termasuk pada bahagian muka oleh sekumpulan kira-kira tujuh individu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di hidung, bibir dan tangan kanan.

Kpl Lisrullah pula cuba meleraikan rusuhan tetapi tidak diendahkan penduduk kampung berkenaan.

Susulan kejadian itu, Arshad berkata, lima lelaki berumur 20 hingga 59 tahun telah ditahan di sekitar Machap Baharu antara 10 malam hingga 12 tengah malam hari sama.

Kelima-lima suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dan melakukan ugutan jenayah kepada penjawat awam dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

– DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...