Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

FOB Di Pulau Mabul Untuk Kekang Kumpulan Militan Selatan Filipina

0 948

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Untuk memastikan keselamatan pantai timur Sabah sentiasa terjamin daripada sebarang ancaman kumpulan-kumpulan militant selatan Filipina termasuk kumpulan Kidnap-For Ransom (KFR), maka kerajaan akan membelanjakan RM41 juta untuk mendirikan Pengkalan Operasi Hadapan (FOB) di Pulau Mabul, Semporna.

FOB di Pulau Mabul itu akan memantau keselamatan di perairan di Semporna serta kawasan sekitarnya.

KFR
Pulau Mabul terletak tidak jauh daripada Pulau Sipadan. (kredit internet)

“Projek FOB bernilai RM41 juta dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan dari tarikh majlis pecah tanah itu, antara usaha komitmen kerajaan mengukuhkan benteng keselamatan negara,” katanya Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Dr Jamaluddin Mohd Ali dalam satu kenyataan hari ini.

FOB di Pulau Mabul itu dijangka siap pada 2024 dan mengukuhkan tahap keselamatan perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) serta memastikan ia bebas daripada sebarang pencerobohan anasir-anasir luar terutamanya kumpulan-kumpulan Kidnap-For-Ransom (KFR) daripada selatan Filipina. Ia juga akan memberi keyakinan kepada komuniti maritim termasuk pelancong ke Semporna mengenai tahap keselamatan di ESSZone.

kfr
Upacara pecah tanah pembinaan FOB di Pulau Mabul semalam. (Gambar kredit ESSCOM)

FOB Mabul itu merupakan projek perintis ESSCom.

Pasukan Polis Marin dipertanggungjawabkan menjadikan pangkalan operasi itu sebagai markas taktikal dalam mengawal dan memantau tahap keselamatan perairan di daerah Semporna dan kawasan sekitar.

“Projek ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan prihatin yang menyediakan kemudahan logistik dan persekitaran tempat kerja selesa bagi pasukan keselamatan khususnya PPM,” katanya.

kfr
Anggota tentera Malaysia ketika meronda di perairan Sabah.

Jamaluddin dalam pada itu menyarankan masyarakat ESSZone terus memberi kerjasama terhadap pasukan keselamatan sebagai usaha bersama membanteras kegiatan jenayah termasuk penyeludupan serta penyusupan pendatang haram.

“Penduduk ESSZone perlu membantu pasukan keselamatan dengan menjadi ‘mata dan telinga’ pasukan keselamatan kerana kerjasama anda amat penting dalam membanteras sebarang anasir luar yang cuba mengganggu-gugat kestabilan dan keamanan negeri ini,” katanya.

Jamaluddin semalam melancarkan majlis pecah tanah projek pembinaan FOB di Pulau Mabul, Semporna.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...