Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lagi Anggota PGA Di Tembak di Sempadan M’sia-Thailand

0 804

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Seorang lagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera selepas ditembak daripada arah kawasan Thailand ketika sedang bertugas meronda di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dekat Bukit Kayu Hitam, petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 6.15 petang itu, anggota terbabit sedang melakukan kawalan sempadan di Pos M16 Bukit Kayu Hitam.

Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan yang mengesahkan kejadian itu berkata anggota PGA terbabit sedang menjalankan rondaan bersama seorang anggota lain di kawasan tersebut.

“Anggota berkenaan yang memakai baju kalis peluru ketika itu tiba-tiba berasa pedih di bahagian perut. Dia kemudian memeriksa bahagian perutnya dan mendapati terdapat kesan bulatan. Beliau (mangsa) kemudian melihat kelibat manusia di kawasan berkenaan. Kita syaki dia ditembak menggunakan senapang angin yang dipercayai datang dari arah negara jiran,” katanya sebagaimana dipetik oleh agensi berita Bernama hari ini.

PGA

Nasib baik anggota PGA itu memakai jaket kalis peluru, jika tidak kecederaan yang beliau alami itu mungkin lebih parah.

Ketua Polis Kedah itu berkata anggota berkenaan yang berusia 26 tahun telah membuat laporan polis dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Kita akan siasat dan kenakan tindakan tegas terhadap individu yang telah melepaskan tembakan ke arah anggota penguatkuasa yang sedang menjalankan tugas,” katanya.

Sempadan

Ini adalah kejadian kedua membabitkan serangan sehingga menyebabkan kecederaan ke atas anggota PGA selepas dua anggota PGA diserang di Pos TS9 berdekatan Padang Besar, Perlis, semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi itu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala Sarjan Norihan Tari, parah terkena tembakan pada kanan perut.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

Comments
Loading...