(DEFENCE SECURITY ASIA) – Insiden tembakan di tengah-tengah kawasan sibuk di bandar Vienna, Austria malam tadi yang sehingga kini telah menyebabkan tiga orang maut dan berbelas lagi mengalami kecederaan parah.
Serangan dipercayai dilakukan oleh beberapa penyerang bersenjata.
Polis Austria mengatakan salah seorang daripada penyerang berjaya dibunuh oleh polis.
Menurut jurucakap polis, serangan dilakukan oleh beberapa orang di kawasan dikenali “Seitenstettengasse” di bandar Austria pada 8 malam waktu tempatan, dengan penyerang melepaskan tembakan daripada enam kedudukan berasingan.
Pihak berkuasa Austria telah mengerahkan anggota polis dan tentera ke kawasan lokasi di dalam usaha untuk menangani kumpulan penyerang bersenjata itu.
Mereka telah mengarahkan penduduk supaya tinggal di dalam rumah dan tidak keluar atau menggunakan pengangkutan awam.
Terdapat laporan yang mengatakan sehingga 15 orang cedera dalam kejadian serangan mereka termasuk seorang anggota polis, dengan sekurang-kurangnya tujuh mengalami kecederaan parah.
Menurut Canselor Austria Sebastian Kurz, anggota tentera akan mengawal kawasan-kawasan penting di dalam bandaraya itu manakala anggota polis menumpukan perhatian terhadap operasi anti-keganasan itu.
Rakaman serangan lelaki bersenjata di bandar Vienna semalam. (sumber Twitter)
“Kita sedang berhadapan dengan detik-detik yang genting pada ketika ini. Kita akan bertindak tegas terhadap kumpulan penyerang ini, kata Kurz.
Menteri Dalam Negeri Austria Karl Nehammer berkata, kejadian adalah jelas merupakan suatu insiden keganasan.
Sementara itu media tempatan berkata, serangan berlaku di kuil utama penganut agama Yahudi di bandar terbabit tetapi polis tidak memberikan sebarang pengesahan terhadapnya.
Bandaraya Austria memiliki masyarakat Yahudi yang agak besar.
Kejadian tembakan berlaku ketika pub dan bar-bar di bandaraya itu sedang sibuk dengan pelanggan sebelum ditutup tengah malam kerana peraturan pencegahan COVID-19.
Walaupun motif serangan masih belum dapat dipastikan, tetapi ia berkemungkinan berkaitan dengan penghinaan oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron terhadap agama Islam dua minggu lepas berikutan pembunuhan seorang guru, Samuel Paty.
Akibat tindakan oleh Macron itu, Perancis berhadapan dengan gelombangan serangan di beberapa bandarnya.
Penduduk Islam seluruh dunia juga bangkit mengadakan bantahan dan protes terhadap tindakan Presiden Perancis yang dianggap telah menghina agama Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.
Comments are closed.