Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

28 Laras Raifal AK-102 “Hilang” Di Wilayah Selatan Thailand

Pihak keselamatan Thailand bimbang kerana terdapat kemungkinan jumlah senjata api yang hilang di wilayah selatan negara itu yang dilanda konfllik sejak berdekad lamanya adalah jauh lebih besar daripada “28 pucuk senjata api itu.”

0 1,923

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak keselamatan di wilayah selatan Thailand yang bergolak gempar kerana sejumlah 28 pucuk senapang AK-102 didapati hilang daripada unit pertahanan daerah di daerah Muang, wilayah Narathiwat.

Pihak keselamatan Thailand bimbang kerana terdapat kemungkinan jumlah senjata api yang hilang di wilayah selatan negara itu yang dilanda konfllik sejak berdekad lamanya adalah jauh lebih besar daripada “28 pucuk senjata api itu.”

Ini kerana menurut pegawai keselamatan negara itu, 28 pucuk senjata api AK-102 yang hilang itu adalah daripada satu unit pertahanan daerah dan siasatan akan dilakukan terhadap semua unit pertahanan daerah di kesemua empat wilayah selatan Thailand.

Terdapat kebimbangan jumlah senjata api yang “hilang” itu akan meningkat berlipat-kali ganda jika siasatan terperinci dilakukan terhadap kesemua unit-unit pertahanan daerah di wilayah selatan Thailand iaitu, Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkla.

28 pucuk senjata api AK-102 yang hilang itu adalah daripada Kompeni Ke-2 Pertahanan Daerah Narathiwat di Kamphu, daerah Muang di wilayah Narathiwat.

Thai

Menurut media Thailand, laporan telah dibuat kepada Ketua Polis negara itu Pol Gen Suwat Jangyosuk berkenaan kehilangan senjata api itu.

Panglima Tentera Wilayah ke-4 Lt Jen Kriangkrai Sirak juga mengesahkan kehilangan senjata api itu dan berkata, siasatan sedang dilakukan mengenai perkara itu.

Beliau juga mengesahkan dalam satu pertempuran dengan anggota pejuang pada 11 Mei lepas, pihak tentera telah menemui selaras senapang AK-102 yang kemudiannya dikenalpasti sebagai milik unit pertahanan daerah,

Pihak Internal Security Operations Command (ISOC) pula menasihatkan orang ramai tidak merasa bimbang kerana senjata-senjata itu tidak hilang secara serentak dan senjata itu tidak pernah digunakan dengan kumpulan-kumpulan bersenjata di selatan Thailand.

Menurut laporan media tempatan, pada 11 Mei itu telah berlaku satu pertempuran di Bachok, Narathiwat dimana seorang lelaki dikenali dengan nama Suraidin Katae, 30, atau “Madong” telah terbunuh.

Dalam siasatan di rumahnya, pihak keselamatan Thai menemui senjata api AK-102 dan lebih daripada 100 kelongsong peluru serta 11mm.

Pihak keselamatan Thailand percaya senjata api AK-102 itu dicuri daripada anggota pertahanan daerah selepas berlakunya pertempuran di daerah Bachok itu.

Rangae

DEFENCE SECURITY ASIA


 

Comments
Loading...