[UPDATE] Serangan Pengganas Papua Korbankan 1 Anggota TNI, Nasib 5 Lagi Belum Diketahui
[UPDATE] Jurucakap TNI Laksamana Julius Widjojono hari ini berkata hanya seorang tentera negara itu dikenali sebagai Prebet Miftahul Ariffin disahkan terbunuh manakala nasib lima yang lain tidak diketahui sehingga ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Semalam merupakan Hari Ulangtahun ke-71 bagi Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD), yang merupakan pasukan komando utama bagi tentera darat negara jiran itu.
Bagaimanapun sehari sebelum sambutan HUT itu iaitu pada Sabtu (15 April 2023), unit gabungan Satgas Batalion Infantri (Yonif) dan KOPASSUS telah diserang oleh sekumpulan anggota bersenjata dipercayai daripada Kelompok Terroris Separatis Papua (KTSP).
Kejadian itu berlaku kira-kira 4.30 petang waktu tempatan.
Menurut laporan Kompas TV, anggota bersenjata KTSP telah menyerang unit gabungan itu yang terdiri daripada Tim Badak 1, Badak 3, Candraca 2 dan Candraca 11 Pos Mugi ketika mereka sedang menjalankan tugasan “pembersihan daerah” di Mugi-Mam Kompleks di Kabupaten Nduga, Provinsi Papua Pegunungan.
Laporan oleh media tempatan Indonesia pada mulanya mendakwa serangan oleh kumpulan bersenjata itu telah mengorbankan enam orang anggota KOPASSUS, yang dikatakan adalah angka korban tertinggi dialami oleh pasukan komando itu sepanjang penubuhannya.
Bagaimanapun jurucakap TNI Laksamana Julius Widjojono hari ini berkata setakat ini hanya seorang tentera negara itu dikenali sebagai Prebet Miftahul Ariffin disahkan terbunuh manakala nasib lima yang lain tidak diketahui sehingga ini.
Beliau berkata Miftahul mati selepas ditembak dan jatuh ke dalam gaung setinggi 15 meter.
Kepala Staf Angkatan Darat (KSAD) TNI-AD Jeneral Dudung Abdurachman berkata serangan itu menjadi bukti kebiadaban Kelompok Separatis Teroris Papua yang terus-menerus aktiviti keganasan terhadap rakyat negara itu.
Selain itu terdapat juga laporan oleh media-media Indonesia mengatakan bahawa terdapat sembilan orang anggota tentera daripada unit gabungan itu telah ditangkap oleh kumpulan pengganas, tetapi tiada kenyataan rasmi daripada pihak tentera negara itu sehingga kini.
Media-media tempatan yang memetik sumber tentera mengatakan terdapat juga anggota tentera Indonesia yang mengalami kecederaan.
Ia juga melaporkan bahawa tentera Indonesia memantau keadaan terkini di lokasi insiden itu.
Berikutan keadaan cuaca yang hujan dan berkabus tebal, pihak tentera masih belum mampu berkomunikasi dengan unit tentera yang berada di kawasan kejadian.
Menurut sumber tentera yang ditemuramah oleh media Indonesia, anggota tentera Indonesia yang diserang oleh kumpulan pengganas Papua sedang melaksanakan misi untuk mencari dan menyelamat juruterbang Susi Air, Philips Marthens yang diculik oleh kumpulan pengganas itu dua bulan lepas. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.