Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Untuk Menyaingi R-37M Bakal Diperolehi India, Pakistan Pertingkat Usaha Dapatkan PL-17

Untuk menangani peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M buatan Russia yang bakal melengkapi pesawat pejuang Su-30MKI Tentera Udara India, Islamabad dilaporkan telah mempertingkatkan usaha untuk memperolehi peluru berpandu udara-ke-udara jauh jauh PL-17, juga daripada sekutu dan pembekal senjata utamanya, China.

0 2,458
Selepas “tewas teruk” dalam pertempuran udara Beyond Visual Range (BVR) dengan Tentera Udara Pakistan awal Mei lalu, Tentera Udara India dilaporkan berusaha memperolehi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M buatan Russia yang berupaya membedil sasaran udara sejauh lebih daripada 300km.
India dan Russia dilaporkan pada peringkat akhir rundingan bagi melengkapkan pesawat pejuang Su-30MKI Tentera Udara India dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M itu.
Perolehan peluru berpandu udara-ke-udara R-37M buatan Russia oleh India itu adalah menyaingi peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15E (varian eksport) milik Tentera Udara Pakistan yang berkemampuan membedil sasaran udara lebih daripada 145km jauhnya.
Satu perbezaan ketara antara varian eksport (PL-15E) dan varian China (PL-15) adalah jarak bedilan, dengan jarak bedilan varian eksport PL-15E sebagaimana dimiliki oleh Tentera Udara Pakistan adalah sekitar 145 km manakala bagi varian tempatan sebagaimana digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara China adalah sekitar 300 km.
Sehingga kini, Pakistan dilaporkan hanya dibekalkan dengan varian eksport PL-15, tetapi terdapat juga dakwaan Islamabad memiliki PL-15 yang memiliki jarak bedilan lebih jauh.
Pada awal konflik Pakistan-India Mei lalu, pesawat-pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara BVR jarak jauh PL-15E didakwa berjaya menembak jatuh enam buah pesawat pejuang Tentera Udara India termasuk tiga buah pesawat pejuang termodennya, Rafale.
Tiga lagi buah pesawat pejuang India yang menjadi mangsa kepada PL-15 dibangunkan oleh China Airborne Missile Academy (CAMA) pada awal konflik paling serius di antara kedua-dua negara berjiran itu adalah Su-30MKI, MiG-29 dan Mirage 2000.
PL-17
Pesawat pejuang China membawa peluru berpandu udara-ke-udara ultra jarak jauh PL-17
Untuk menangani peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M buatan Russia yang bakal melengkapi pesawat pejuang Su-30MKI Tentera Udara India, Islamabad dilaporkan telah mempertingkatkan usaha untuk memperolehi peluru berpandu udara-ke-udara jauh jauh PL-17, juga daripada sekutu dan pembekal senjata utamanya, China.
Perolehan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-17 oleh Pakistan yang berkemungkinan akan digandingkan dengan pesawat pejuang generasi kelima J-35A bakal diperolehinya, akan mengembalikan semula kelebihannya dalam domain pertempuran udara BVR sekiranya New Delhi memperolehi peluru berpandu udara-ke-udara R-37M.
Tentera Udara Pakistan dijangka menerima kumpulan pertama daripada 40 buah pesawat pejuang generasi kelima J-35A dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC) dibelinya itu dalam “beberapa bulan akan datang ini”, sebagaimana didakwa oleh portal pertahanan antarabangsa, Janes.
Sekiranya, pesawat-pesawat pejuang India berhadapan kesukaran berhadapan dengan peluru berpandu PL-15 pada ketika ini, bayangkan sekiranya Pakistan dibekalkan dengan peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 yang akan dibawa oleh pesawat halimunan J-35A, yang semestinya sukar dikesan oleh radar-radar pertahanan udara India.
Peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 adalah varian naik taraf daripada PL-15.
Sejak beberapa tahun lepas, China telah membangunkan peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-17 (yang juga dikenali sebagai PL-XX atau “Project 180”), dengan jarak bedilan adalah di antara 300km hingga 400km.

Amerika

PL-15E
PL-15E
Peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-17 adalah suatu naik taraf berbanding PL-15 dan ia adalah suatu berita buruk kepada India kerana China telah mula mengadakan ujian untuk mengintegrasi peluru berpandu PL-17 itu dengan pesawat-pesawat pejuang J-10C miliknya.
Pada ketika ini, peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 itu sudah pun digunakan secara terhad oleh pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon” dan mungkin tidak lama lagi akan turut digunakan oleh pesawat pejuang J-35A yang bakal memasuki perkhidmatan Tentera Udara China tidak lama lagi.
Peluru berpandu PL-17 direka khusus untuk memberikan pesawat pejuang generasi kelima seperti J-20 “Mighty Dragon” keupayaan “first look, first shot, first kill” terhadap pesawat musuh yang beroperasi di luar julat visual (BVR).
Dengan julat tembakan dianggarkan antara 300 ke 400 kilometer, peluru berpandu PL-17 berpotensi menggandakan jarak capaian peluru berpandu setaraf Barat seperti AIM-120D AMRAAM atau MBDA Meteor.
Pada ketika ini, jarak bedilan peluru berpandu udara-ke-udara AMRAAM dan Meteor adalah dalam lingkungan 200 km.
Peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-17 keluaran China ini dilengkapi dengan sistem panduan Inertial Navigation System (INS), GPS/Beidou, dan sistem pemanduan terminal aktif radar AESA serta pemancar data-link untuk panduan pertengahan dari platform pelancar.
R-37M
Pesawat pejuang Russia melancarkan  “R-37M”
Panjang peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 mencecah panjang hampir enam meter, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara terbesar yang pernah diintegrasikan pada jet tempur moden, dan memerlukan sayap khusus (strake) pada fiuslaj J-20 untuk membawanya secara luaran.
Sistem pemanduan terminal AESA pada peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 membolehkannya menjejak dan menyerang sasaran dengan kepekaan tinggi walaupun dalam persekitaran peperangan elektronik intensif.
Peluru berpandu PL-17 bukan sahaja direka untuk menembak jatuh pesawat pejuang lawan, tetapi juga pesawat sokongan kritikal seperti AWACS (Airborne Early Warning and Control), pesawat tanker dan pesawat ISR (Intelligence, Surveillance, Reconnaissance) dari jarak yang selamat.
Dengan sasaran seperti pesawat E-3 Sentry AWACS, RC-135 Rivet Joint, dan pesawat KC-135, peluru berpandu ini menjadi senjata pemusnah ‘force multiplier’ dalam doktrin anti-akses/penafian kawasan (A2/AD) China.
Integrasi peluru berpandu udara-ke-udara PL-17 pada pesawat pejuang J-20 “Mighty Dragon”  China memberi kelebihan taktikal kepada Beijing dalam potensi konflik di Laut China Selatan, Selat Taiwan dan perairan Timur China, khususnya dalam menghadapi pakatan udara seperti Amerika Syarikat dan Jepun.
Kemampuan ultra-jarak jauh peluru berpandu ini juga bertujuan mengekang kehadiran pesawat pengawal dan sistem C4ISR musuh jauh dari medan tempur, sekaligus membutakan struktur kawalan dan koordinasi pihak lawan.
Lpaoran sebelum ini menunjukkan peluru berpandu PL-17 ini telah menjalani ujian pelancaran dan kini berkemungkinan sedang beroperasi dalam kuantiti terhad bersama unit-unit J-20 Tentera Udara China (PLAAF).
Su-57
R-37M (AA-13 Axehead)
Penganalisis ketenteraan melihat PL-17 sebagai sebahagian daripada usaha strategik China untuk mencabar dominasi udara Amerika Syarikat di Indo-Pasifik, sekaligus menyaingi sistem seperti AIM-260 Joint Advanced Tactical Missile (JATM) yang masih dalam pembangunan.
Perolehan peluru berpandu udara-ke-udara BVR ultra jarak jauh PL-17 oleh Pakistan bakal menjadi perubahan strategik terbesar dalam keseimbangan kuasa udara di Asia Selatan—khususnya dalam konteks konflik udara dengan India.
PL-17, yang direka untuk menembak sasaran sejauh 300-400 kilometer, akan memberikan Pakistan keupayaan Beyond Visual Range (BVR) yang jauh melampaui apa yang dimiliki oleh Tentera Udara India (IAF) pada masa ini, termasuk peluru berpandu Meteor (Rafale) dan Astra Mk1/Mk2 (Su-30MKI, Tejas, Mirage 2000).
Integrasi peluru berpandu PL-17 ke atas pesawat halimunan generasi kelima J-35A dan juga pesawat pejuang milik Islamabad yang lain seperti J-10C atau JF-17 Block III — bererti Pakistan bukan sahaja dapat menyerang lebih jauh tetapi juga dari luar lingkungan balasan efektif pesawat India.
Dalam erti kata lain, sekiranya PL-17 digunakan dari platform stealth atau “semi-stealth” seperti J-35A, JF-17 Block III atau J-10C, Pakistan boleh melaksanakan serangan udara pertama (first launch advantage) terhadap Rafale, Su-30MKI atau Mirage India sebelum mereka menyedari kedudukan ancaman.
Kelebihan ini akan menjadi penghalang berkesan kepada pesawat sokongan penting India seperti pesawat AWACS (Netra/Phalcon), tanker IL-78MKI dan platform ISR, yang menjadi nadi sistem pengawasan dan kawalan udara India.
Dari sudut geo-strategik, perolehan PL-17 oleh Pakistan akan menandakan peralihan kepada doktrin udara berasaskan penafian kawasan (A2/AD), selari dengan strategi China, di mana kekuatan udara digunakan untuk membutakan, melumpuhkan, dan menolak kehadiran musuh dari kawasan kritikal.
Dalam senario konflik di Kashmir atau sepanjang Line of Control (LoC), peluru berpandu PL-17 boleh digunakan untuk menyasarkan pesawat berkeupayaan tinggi India dari jarak selamat Pakistan, tanpa memasuki ruang udara musuh, sekali gus menyulitkan India untuk bertindak balas secara sah dan taktikal.
Namun begitu, terdapat cabaran teknikal dan geopolitik.
R-37M
R-37M
Pertama, peluru berpandu PL-17 sangat panjang dan besar, direka khusus untuk pesawat pejuang J-20—seterusnya integrasi ke atas pesawat pejuang JF-17 Block III atau J-10C milik Pakistan memerlukan pengubahsuaian struktur dan sistem avionik, termasuk sistem pemanduan pertengahan dan terminal AESA.
Kedua, dari sudut geopolitik, pemindahan peluru berpandu PL-17 ke Pakistan akan meningkatkan ketegangan ketara dengan India, mungkin mengundang tindak balas termasuk melibatgandakan pembangunan program AIM-260 ASRAAM, Astra Mk3, atau pembelian sistem anti-pesawat jarak jauh seperti David’s Sling atau Iron Dome dari Israel.
India juga mungkin akan memperluaskan penggunaan peluru berpandu Meteor pada platform selain Rafale, atau mempercepatkan kerjasama misil BVR dengan Perancis dan Russia untuk mengekalkan keunggulan udara.
Akhirnya, perolehan peluru berpandu PL-17 oleh Pakistan akan mengeratkan lagi hubungan strategik-ketenteraan di antara Islamabad dan Beijing, sekaligus menandakan permulaan fasa baharu perlumbaan persenjataan udara di Asia Selatan—bukan sahaja dari segi platform tetapi dari segi jarak tembakan dan kekuatan serangan sistemik.

 

Leave a Reply