Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

United Kingdom Bakal “Kehilangan” 30 Pesawat Eurofighter Typhoon, Cetus Kebimbangan

Salah seorang anggota parlimen negara itu, Mark Francois dipetik sebagai berkata bahawa tindakan menamatkan khidmat 30 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 1 akan menyebabkan “jurang kemampuan” yang kritikal kepada tentera udara terutamanya ketika berlakunya peperangan.

5,174

(DEFENCE SECURITY ASIA) – United Kingdom bakal “kehilangan” 30 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon selepas kerajaan negara itu mengesahkan ia akan menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat pejuang terbabit menjelang tahun 2025.

“Kehilangan” 30 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu membimbangkan beberapa pihak tentang kemampuan tentera udara negara itu sekiranya peperangan tercetus.

Pesawat-pesawat pejuang yang akan dibersarakan itu adalah daripada varian Tranche 1, dengan komponen dan peralatannya yang masih berguna dijadikan alat ganti untuk pesawat Eurofighter Typhoon yang masih digunakan.

“Varian pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 1 akan melalui program ‘Reduce to Produce’ di mana komponen dan peralatan yang masih berguna dilucutkan dan digunakan sebagai inventori alat ganti pesawat-pesawat Eurofighter Typhoon yang masih beroperasi.”

“Pada ketika ini terdapat 30 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 1 dalam perkhidmatan angkatan tentera, dengan 26 buah daripada pesawat pejuang itu akan menamatkan perkhidmatannya pada akhir Mac 2025,” kata Menteri Negara di Kementerian Pertahanan United Kingdom, James Cartlidge.

Typhoon

Empat lagi buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 1 itu akan dikekalkan sehingga 2027, sebelum keempat-empatnya dibersarakan.

Dengan penamatan khidmat 30 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 1 pada 2025, ia akan meninggalkan United Kingdom dengan hanya 107 buah pesawat pejuang tersebut keseluruhannya dalam varian Tranche 2 sebanyak 67 buah  dan juga Tranche 3 sebanyak 40 buah.

Beberapa pihak menyuarakan kebimbangan mereka terhadap tindakan Kementerian Pertahanan United Kingdom menamatkan 30 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 1.

Salah seorang anggota parlimen negara itu, Mark Francois dipetik sebagai berkata bahawa tindakan menamatkan khidmat 30 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tranche 1 akan menyebabkan “jurang kemampuan” yang kritikal kepada tentera udara terutamanya ketika berlakunya peperangan.

“Terdapat satu scenario dimana anda akan mengalami jurang kemampuan yang kritikal. Ianya dipanggil peperangan. Memandangkan kita mempunyai pesawat pejuang yang amat sedikit, ia tidak masuk akal untuk menamatkan khidmat 30 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon. Sepatutnya kita meletakkan 30 buah pesawat itu dalam simpanan peperangan,” kata beliau.

Typhoon

Syarikat yang membangunkan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon, BAE telah mencadangkan pesawat-pesawat Tranche 1 itu dinaiktaraf ke tahap Tranche 2 atau Tranche 3.

Bagaimanapun, cadangan syarikat BAE itu tidak dilayan oleh Kementerian Pertahanan United Kingdom.

“Secara teknikal, pesawat Eurofighter Typhoon Tranche 1 itu boleh dinaiktaraf ke tahap Tranche 2 atau Tranche 3. BAE telah pun mengemukakan data kepada Kementerian Pertahanan tentang skop kerja-kerja pengubahsuaian struktural dan avionik yang diperlukan.” — DSA

 

 

Comments are closed.