Unit Pertahanan Udara Pengawal Revolusi Iran Dibenar Tembak “Fire-At-Will” Penceroboh – Laporan
“Di dalam kes apabila unit-unit pertahanan udara telah mengenalpasti secara positif pesawat-pesawat musuh yang menceroboh ruang udara berdaulat Republik Islam Iran, komander-komander unit pertahanan udara wilayah tidak memerlukan kelulusan daripada pihak atasan untuk membedil sasaran itu.” - Laporan
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Unit-unit pertahanan udara Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dilaporkan telah diberikan kebenaran untuk melepaskan tembakan (Fire-Ar-Will) terhadap sebarang pesawat yang menceroboh ruang udara negara itu tanpa mendapatkan kebenaran daripada pegawai atasan terlebih dahulu.
Menurut laporan, sebelum ini unit-unit pertahanan udara IRGC itu memerlukan kelulusan daripada pegawai atasan sebelum mereka dibenarkan untuk melepaskan tembakan walaupun telah mengenalpasti pesawat-pesawat musuh yang menceroboh ruang udara Iran itu.
“Di dalam kes apabila unit-unit pertahanan udara telah mengenalpasti secara positif pesawat-pesawat musuh yang menceroboh ruang udara berdaulat Republik Islam Iran, komander-komander unit pertahanan udara wilayah tidak memerlukan kelulusan daripada pihak atasan untuk membedil sasaran itu.”
Laporan selanjutnya menyatakan bahawa kelulusan untuk melepaskan tembakan itu adalah terhadap sasaran melibatkan pesawat-pesawat tanpa pemandu musuh.
Unit-unit pertahanan udara sama ada yang bernaung di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dan lain-lain telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tertinggi bagi menangani sebarang pencerobohan daripada mana-mana pesawat asing.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah beberapa kali melaungkan amaran untuk melakukan serangan terhadap Iran berhubung dengan dakwaan bahawa negara Parsi itu sedang berusaha untuk membangunkan senjata nuklear.
Trump yang telah membukti bahawa beliau adalah penyokong utama Israel sejak menjawat jawatan itu, memberi amaran bahawa jika “Iran tidak bersetuju dengan rundingan yang ditawarkan, negaranya akan melancarkan serangan udara yang belum pernah disaksikan sebelum ini.”

Ancaman terbaru Trump – yang lebih jelas dan ganas berbanding kenyataan-kenyataannya sebelum ini – dibuat selepas beliau menghantar sepucuk surat kepada Iran, yang kandungannya masih belum didedahkan, bagi menawarkan rundingan mengenai program nuklear negara itu.
Bagi Iran pula, ia mendakwa program nuklearnya tidak mengancam mana-mana pihak kerana ia adalah untuk menjana kuasa dan bukan untuk membangunkan senjata nuklear.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei pula dilaporkan berkata bahawa “ancaman terbuka untuk mengebom Iran oleh ketua sesebuah negara adalah satu percanggahan jelas terhadap prinsip asas keamanan dan keselamatan antarabangsa.”
“Ancaman seperti ini merupakan pelanggaran serius terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga mencabuli peraturan kawal selia Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Keganasan hanya akan mengundang lebih banyak keganasan, manakala keamanan akan melahirkan keamanan. Amerika perlu membuat pilihan.”
Sementara itu, Komander Pasukan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam Iran Brigedier Jeneral Amir Ali Hajizadeh mengancam untuk membedil pangkalan tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah yang menempatkan kira-kira 50,000 anggota tenteranya.
“Orang yang tinggal di rumah kaca tidak sepatutnya membaling batu kepada orang lain. Amerika Syarikat mempunyai sekurang-kurangnya 10 pangkalan tentera dengan 50,000 anggota di rantau ini — bermakna mereka sendiri sedang duduk dalam rumah kaca.”
Sejak beberapa hari lalu, sejumlah besar pesawat-pesawat pengebom B-2 Spirit dan pesawat pengisi minyak dilaporkan telah “berkumpul” di pulau Diego Garcia di Lautan Hindi, milik Britain yang kerap-kali digunakan oleh tentera Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan terhadap sasaran-sasaran di Timur Tengah.
Imej-imej satelit menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh buah pesawat pengebom B-2 Spirit, tiga buah pesawat kargo C-17 dan 10 buah pesawat pengisi minyak milik Tentera Udara Amerika Syarikat telah dihantar ke pulau Diego Garcia dalam tempoh 48 jam yang lalu.
Diego Garcia merupakan pangkalan tentera laut dan udara milik British yang disewakan kepada Amerika Syarikat, terletak di tengah-tengah Lautan Hindi.
Ia berfungsi sebagai pusat sokongan logistik penting bagi operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Asia Barat, Afrika Timur dan Asia Tenggara.
Pangkalan tentera Amerika Syarikat di Diego Garcia menempatkan landasan udara panjang, kemudahan pelancaran pesawat pengebom strategik (seperti B-52 dan B-2), pusat komunikasi global, serta pelabuhan untuk kapal perang dan kapal sokongan.
Amerika Syarikat juga bertindakn menambah bilangan kapal pengangkut pesawat yang ditempatkan di Timur Tengah kepada dua buah, dengan mengekalkan satu kapal sedia ada di rantau itu dan menghantar sebuah lagi dari Indo-Pasifik, menurut kenyataan Pentagon.

