Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

UAE Pertimbang J-20 Buatan China Sebagai Ganti F-35 Yang Amerika Enggan Jual Padanya?

Hubungan di antara UAE dan China semakin rapat, bukan sahaja di dalam bidang perdagangan tetapi juga meliputi dalam bidang pertahanan, dengan negara Arab Teluk itu menjadi sebuah lagi negara Arab yang membeli aset-aset pertahanan buatan Beijing.

4,878

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Negara Arab Teluk kaya-raya, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan sedang menimbangkan pesawat pejuang generasi kelima buatan China, J-20 “Mighty Dragon”, selepas Amerika Syarikat enggan menjual pesawat pejuangnya F-35.

Pesawat J-20 “Mighty Dragon” itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industrial Group Co Ltd dibawah Aviation Industry Corporation of China.

Hubungan di antara UAE dan China semakin rapat, bukan sahaja di dalam bidang perdagangan tetapi juga meliputi dalam bidang pertahanan, dengan negara Arab Teluk itu menjadi sebuah lagi negara Arab yang membeli aset-aset pertahanan buatan Beijing.

Minggu lepas, pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera UAE telah melakukan lawatan ke Beijing untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan hubungan pertahanan yang semakin berkembang di antara mereka.

Tahun lepas, China National Aero-Technology Import & Export Corporation (CATIC) mengumumkan ia telah menandatangani kontrak dengan UAE bagi penjualan 12 buah pesawat latihan dan pejuang ringan L-15 “Hongdu” kepada negara Teluk yang kaya-raya itu.

L-15
Pesawat pejuang ringan dan latihan lanjutan L-15

 

Kontrak itu juga memperuntukan opsyen untuk memperolehi 36 buah lagi pesawat L-15 oleh UAE pada masa akan datang.

Pesawat pejuang ringan dan latihan lanjutan (Fighter Lead-In Trainer) L-15 itu merupakan pesawat latihan sebelum juruterbang beralih ke pesawat pejuang yang lebih canggih dan berkeupayaan seperti J-20.

Penganalisis pertahanan serantau melihat impak perolehan pesawat pejuang ringan dan latihan lanjutan L-15 itu amat besar kerana ia merupakan kali pertama dimana UAE yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat di rantau Teluk membeli peralatan ketenteraan daripada China.

Sudah tentu, apa yang dilakukan oleh UAE ini tidak disenangi oleh Washington tetapi negara Arab Teluk itu terpaksa berpaling kepada Beijing selepas usahanya untuk memiliki pesawat pejuang F-35 itu ditolak oleh Amerika Syarikat atas desakan oleh Israel.

Pada 2020 ketika Amerika Syarikat dibawah pemerintahan Presiden Donald Trump, Washington telah meluluskan penjualan 50 buah pesawat pejuang F-35 dianggarkan bernilai kira-kira US$23.3 billion (RM93 billion), sebagaimana diumumkan oleh Defense Security Cooperation Agency (DSCA), sebuah agensi yang bernaung di bawah Pentagon.

Britain
Pesawat pejuang F-35

 

DSCA berkata, penjualan itu turut melibatkan pelbagai kelengkapan yang datang bersama-sama pesawat pejuang itu, logistic, latihan, Full Mission Trainer, peluru berpandu dan pesawat tanpa pemandu.

Pengumuman tentang kemungkinan penjualan pesawat F-35 kepada UAE itu hadir tidak lama selepas negara Arab Teluk dan Israel menandatangani perjanjian untuk mewujudkan hubungan diplomatik.

Walaupun menandatangani perjanjian mewujudkan hubungan diplomatik dengan UAE, namun Israel tetap mendesak Washington supaya tidak membenarkan sebarang penjualan pesawat F-35 kepada negara Arab Teluk kerana bimbangkan ia akan menghakis kelebihan kualitatifnya angkatan tenteranya.

Bagi memastikan angkatan tenteranya sentiasa berada di hadapan berbanding negara-negara Arab,  Israel sentiasa mendapatkan aset-aset pertahanan berteknologi tinggu atau membangunkannya sendiri atau menghalang negara-negara Arab daripada memiliki aset berteknologi tinggi.

Kali ini, Tel Aviv telah menekan Washington supaya tidak menjual F-35 kepada UAE kerana bimbangkan negara Arab Teluk itu akan mencabar “kekuasaan” tentera udaranya.

Satu lagi sebab  yang dikatakan menjadi punca mengapa Washington enggan menjual F-35 kepada negara Arab Teluk adalah kerana UAE enggan menamatkan hubungan dan kerjasamanya dengan syarikat telekomunikasi terkenal China, Huawei berkaitan teknologi 5G.

J-20
J-20 “Mighty Dragon”

 

Washington dikatakan bimbang kerana UAE akan menggunakan teknologi 5G yang dibekalkan oleh Huawei di stesen-stesen komunikasi, menara telekomunikasi di pangkalan-pangkalan udara dan pelbagai kemudahan di negara Arab itu.

 “Mereka (Amerika Syarikat) bimbang sekiranya China berpeluang menggunakan  kemudahan 5G itu untuk memperolehi seberapa banyak maklumat perisikan tentang kemampuan dan bagaimana pesawat F-35 itu beroperasi,” menurut seorang penganalisis Barat.

Pegawai kanan Pentagon mengakui antara risiko paling utama mengapa Amerika membantah kerjasama UAE-Huawei adalah kebimbangan ia akan memberikan China peluang untuk “mengintai” kemampuan dan cara pesawat F-35 itu beroperasi. — DSA

Comments are closed.