Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

UAE Paksa Amerika “Keluarkan” Pesawat Pejuang , Aset Kombatnya Dari Negara Arab Teluk Itu

Sebagaimana dilaporkan oleh media, Wall Street Journal (WSJ), pegawai-pegawai kanan UAE telah pun memaklumkan kepada Amerika Syarikat pada Februari lepas bahawa aset-aset milik Washington berada di Pangkalan Udara Al-Dhahfra tidak dibenarkan melancarkan serangan terhadap sasaran sama ada di Iraq, Yemen atau mana-mana pihak di rantau itu.

0 12,305

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat dilapor terpaksa “mengeluarkan” pesawat-pesawat pejuang, dron dan pelbagai pesawat kombat miliknya yang lain daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas negara Arab Teluk itu tidak membenarkan Washington menggunakan wilayah negara itu untuk menyerang mana-mana pihak di Timur Tengah.

Sebagaimana dilaporkan oleh media, Wall Street Journal (WSJ), pegawai-pegawai kanan UAE telah pun memaklumkan kepada Amerika Syarikat pada Februari lepas bahawa aset-aset milik Washington berada di Pangkalan Udara Al-Dhahfra tidak dibenarkan melancarkan serangan terhadap sasaran sama ada di Iraq, Yemen atau mana-mana pihak di rantau itu.

“Larangan telah diberikan (kepada pihak Amerika Syarikat) berkenaan misi-misi serangan terhadap sasaran di Iraq dan Yemen. Larangan ini adalah berdasarkan kepada usaha-usaha memelihara keselamatan,” menurut pegawai kanan UAE itu kepada WSJ.

Pangkalan Udara Al-Dhahfra merupakan antara pangkalan udara terbesar Amerika Syarikat di Timur tengah dan ia terletak hanya 32 km di selatan Abu Dhabi.

Larangan yang dikeluarkan oleh UAE telah memaksa Amerika Syarikat memindahkan secara besar-besaran pesawat-pesawat pejuangnya dan pelbagai asetnya yang lain di Al-Dhahfra ke Pangkalan Udara Al-Udeid terletak di Qatar.UAE

Pangkalan Udara Al-Udeid di Qatar itu adalah pangkalan udara Amerika Syarikat terbesar di Timur Tengah, menempatkan lebih darpada 10,000 anggota tentera negara itu.

Pegawai-pegawai kanan UAE memberitahu Amerika Syarikat bahawa mereka bimbang UAE akan dijadikan sasaran oleh mana-mana pihak dipanggil “Axis of Resistance” sekiranya Washington terus melancarkan serangan udara menggunakan pesawat-pesawat pejuang serta asetnya yang lain daripada Pangkalan Udara Al-Dhahfra di negara itu.

Mereka bimbang akan menjadi sasaran kepada Iran yang terletak berhampiran jika Amerika melancarkan serangan terhadap Teheran daripada pangkalan udara Al-Dhahfra.

Menurut WSJ, larangan dikeluarkan oleh UAE itu menunjukkan ketegangan yang wujud di antara negara-negara Arab Teluk yang membenarkan pangkalan-pangkalan udara mereka untuk menempatkan aset-aset tentera Amerika Syarikat dan dalam masa yang sama bimbang akan terjerumus dalam konflik antara Palestin dan Israel.

Pada Mac lalu, Qatar dan Kuwait juga dilapor telah mengeluarkan arahan kepada Amerika Syarikat bahawa pesawat-pesawat pejuang kuasa besar itu tidak dibenarkan menggunakan pangkalan udara di kedua-dua negara Arab Teluk itu untuk melancarkan serangan udara terhadap Iran.

Bukan sahaja tidak membenarkan pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat menggunakan pangkalan tentera mereka, tetapi Qatar dan Kuwait juga melarang penggunaan ruang udaranya untuk sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran.

UAE

 

Tindakan kedua-dua negara Arab yang bersempadan dengan Iran itu sekaligus menghadkan kemampuan Washington untuk melancarkan serangan terhadap Teheran.

Qatar dan Kuwait menekankan bahawa mereka mengambil pendekatan berkecuali dan mahu mengelakkan sebarang konflik di rantau itu.

Amerika Syarikat menempatkan pesawat-pesawat tenteranya di Pangkalan Udara Ali Al Salem dan Pangkalan Udara Ahmed Al Jaber di Kuwait manakala di Qatar pula, Pangkalan Udara Al Udeid merupakan pangkalan udara terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah.

Pada Feb lalu, laporan menyatakan beberapa negara Arab memutuskan untuk menghadkan kebenaran diberikan kepada pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat dan sekutunya untuk melakukan serangan udara terhadap kumpulan proksi Iran daripada pangkalan udara di negara mereka.

Beberapa pangkalan udara negara Arab terutamanya di negara-negara Teluk menempatkan banyak aset-aset tentera Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk pesawat-pesawat pejuang, pesawat pengintip, pesawat pengisi minyak dan dron-dron bersenjata.

UAE

Sementara itu, kerajaan Arab Saudi dilaporkan enggan memberikan kebenaran kepada pesawat-pesawat pejuang milik Amerika Syarikat dan sekutunya daripada menggunakan ruang udaranya untuk menyerang kumpulan bersenjata Houthi di Yemen.

Menurut media-media antarabangsa, keengganan Riyadh memberikan kebenaran kepada pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat dan sekutunya daripada menggunakan ruang udaranya itu dilapor telah disahkan oleh Pentagon.

Laporan larangan penggunaan ruang udara Arab Saudi itu timbul selepas negara-negara Arab tertentu memutuskan untuk menghadkan kebenaran diberikan kepada pesawat pejuang Amerika Syarikat dan sekutunya untuk melakukan serangan udara terhadap kumpulan proksi Iran daripada pangkalan udara di negara mereka. — DSA

Comments
Loading...