Turkiye Integrasi S-400 Dalam Sistem Kawalan dan Pemerintahan Pertahanan Udara Kebangsaan
Menurut laman-laman web Turkish Minute dan TurDef, sistem pertahanan udara S-400 itu akan beroperasi bersama-sama sistem pertahanan udara lain dioperasi oleh Angkatan Tentera Turkiye dalam Sistem Kawalan dan Pemerintahan HAKIM 100 itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pertahanan Turkiye, Aselsan dilaporkan telah mengintegrasi sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 “Triumf” buatan Russia milik negara Mediterranean itu ke dalam Sistem Kawalan dan Pemerintahan Pertahanan udara negara itu HAKIM 100 yang dibangunkannya sendiri.
Menurut laman-laman web Turkish Minute dan TurDef, sistem pertahanan udara S-400 itu akan beroperasi bersama-sama sistem pertahanan udara lain dioperasi oleh Angkatan Tentera Turkiye dalam Sistem Kawalan dan Pemerintahan HAKIM 100 itu.
Pengintegrasian ke dalam Sistem Kawalan dan Pemerintahan HAKIM 100 akan menyaksikan S-400 buatan Russia milik Angkatan Tentera Turkiye itu beroperasi di lapisan (layer) yang sama di mana sistem pertahanan udara jarak jauh SIPER beroperasi.
Dengan menambah sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia untuk beroperasi bersama sistem tempatan seperti SIPER, Turkiye menegaskan strateginya untuk mengimbangi teknologi asing dan domestik dalam rangka kerja pertahanannya.
Brosur untuk Sistem Kawalan dan Pemerintahan HAKIM 100 menyatakan bahawa sistem dibangunkan oleh Aselsan menghubungkan radar dan datalink yang digunakan bersama pesawat, kapal, dan sistem pertahanan udara NATO, termasuk sistem pertahanan udara jarak jauh S-400.
Pengintegrasian sistem pertahanan udara S-400 itu adalah sebahagian daripada rangkaian pertahanan berlapis dan bersatu Turkiye untuk menentang pelbagai jenis ancaman pertahanan udara.
Dibangunkan sepenuhnya menggunakan sumber tempatan,Sistem Kawalan dan Pemerintahan HAKIM 100 mengintegrasikan real-time data daripada pelbagai sensor untuk menghasilkan gambaran udara (air picture) yang menyeluruh, meningkatkan kesedaran situasi bagi para komander.
Sistem ini mematuhi piawaian NATO dan antarabangsa serta menyokong platform pertahanan jarak dekat, sederhana, dan jauh.
HAKIM 100 juga menggunakan algoritma canggih untuk penilaian ancaman dan pemilihan senjata.
ASELSAN menyatakan bahawa mereka merancang untuk mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dan Machine Learning dalam varian akan datang bagi menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi pertahanan terkini.
Walaupun beberapa laman web Turkiye menyatakan bahawa S-400 telah diintergrasikan ke dalam sistem kawalan dan pemerintahan HAKIM 100, namun tidak kenyataan rasmi daripada kerajaan Turkiye sehingga kini.
Laporan media sehingga Disember 2024 menyatakan bahawa Turkiye belum mengintegrasikan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia ke dalam infrastruktur kawalan dan arahan pertahanan udara nasional.
Walaupun Turkiye memperoleh S-400 pada tahun 2019, sistem tersebut masih tidak diaktifkan dan disimpan di lokasi yang tidak didedahkan.
Bekas Menteri Pertahanan, Hulusi Akar, menyatakan pada November 2022 bahawa S-400 sedia untuk dikerahkan jika diperlukan, namun tiada keputusan dibuat mengenai penempatan operasinya.
Diperolehi pada 2019, sistem pertahanan S-400 yang diperolehi Turkiye itu merupakan punca kepada ketegangan hubungan di antara Ankara dan Washington.
Ankara menandatangani perjanjian dengan Moscow pada 2017 untuk memperolehi sistem S-400 yang dianggarkan bernilai US$2.5 bilion (RM10 bilion).
Rejimen pertama sistem S-400 itu telah dihantar ke Turkiye pada 2019.
Turkiye membuat keputusan untuk mendapatkan sistem pertahanan udara S-400 selepas rundingannya untuk mendapatkan sistem pertahanan udara Patriot daripada Amerika Syarikat gagal.